Berita Harian

SPR minta ikut cadangan masa keluar mengundi

-

Hulu Selangor: Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu supaya mengikut cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan agensi itu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, turut menasihati pengundi agar tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, pengundi juga dinasihatk­an membuat semakan awal bagi mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka.

“Boleh lihat (maklumat berkaitan) dalam laman sesawang MYSPR Semak, ada dicadangka­n masa untuk mereka keluar mengundi. Oleh itu, kami nasihat kalau boleh keluar mengundi pada waktu berkenaan untuk mengelak kesesakan.

“Kalau tidak boleh, tidak mengapa... cuma ikut waktu yang diwartakan, iaitu antara jam 8 pagi hingga 6 petang esok (hari ini),” katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Penjumlaha­n Undi PRK DUN Kuala Kubu Bharu, di sini, semalam.

Sebelum ini, SPR dilapor memaklumka­n, seramai 760 petugas dilantik mengendali­kan proses PRK DUN Kuala Kubu Bharu, manakala 18 pusat mengundi biasa membabitka­n 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal (tiga tempat mengundi atau saluran awal) akan digunakan.

Selain itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK kali ini adalah daftar pemilih terkini dengan Daftar Pemilih Tambahan Februari 2024 yang dikemas kini hingga 25 Mac lalu.

Ia membabitka­n sejumlah 40,226 pemilih terdiri daripada 39,362 pengundi biasa; tentera dan pasangan (238); polis (625); dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Persiapan lancar

Dalam pada itu, Ikmalrudin berkata, persiapan untuk hari pengundian PRK terbabit berjalan lancar dengan semua ketua pusat mengundi sudah diberi taklimat berkaitan.

“Semakan dilakukan hari ini (semalam) bertujuan memastikan semua kelengkapa­n mengundi adalah mencukupi. Petugas yang dilantik Pejabat Pengurus (PRK DUN Kuala Kubu Bharu) juga semuanya berpengala­man dan diyakini mampu menyelesai­kan apa-apa masalah yang mungkin timbul, esok (hari ini),” katanya.

Mengenai dakwaan rasuah dikaitkan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pula, Ikmalrudin berkata, sebarang siasatan berhubung kes berkenaan akan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, katanya, siasatan

juga boleh dilakukan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berpanduka­n Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Beliau memaklumka­n setakat ini, SPR tiada menerima sebarang petisyen berkaitan kesalahan sepanjang PRK DUN Kuala Kubu Bharu, dan sebarang prosedur pemfailan itu akan dibuat selepas keputusan diperoleh kelak.

“Tidak ada (keperluan memanggil Kor Ming). Kena faham, apa-apa urusan mengenai

kesalahan pilihan raya yang dikatakan melanggar Akta 5, akan diserahkan kepada PDRM.

“Ia juga boleh diserahkan kepada pihak berkuasa lain seperti SPRM untuk disiasat. SPR tidak melakukan siasatan kerana kita adalah badan bebas. Apa-apa siasatan akan menggunaka­n Akta 5, dan ia terpulang kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superinten­dan Ahmad Faizal Tahrim, berkata lima laluan di sekitar Kuala Kubu Bharu ditutup sementara sempena hari mengundi

hari ini, bermula jam 3 petang hingga selesai.

“Penutupan dan lencongan itu membabitka­n Jalan Merdeka, Jalan Abdul Hamid, Jalan Dato Muda Jaafar, Jalan Mat Kilau dan Jalan Kamarudin.

“Laluan alternatif yang boleh dilalui ialah Jalan Kubu, Jalan Dato Tabal, Jalan Rasathurai, Jalan Dato Balai, Jalan Syed Masyor dan Jalan Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam, sambil mengingatk­an penduduk supaya mematuhi arahan untuk kelancaran aliran trafik.

 ?? (Foto Eizairi Shamsudin/bh) ?? Ikmalrudin meninjau petugas SPR membuat persiapan di Pusat Penjumlaha­n Undi PRK DUN Kuala Kubu Bharu, semalam.
(Foto Eizairi Shamsudin/bh) Ikmalrudin meninjau petugas SPR membuat persiapan di Pusat Penjumlaha­n Undi PRK DUN Kuala Kubu Bharu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia