Berita Harian

‘Keputusan gencatan senjata kini di tangan Israel’

-

Hamas menegaskan kuasa dan keputusan sepenuhnya kini berada di tangan Israel selepas rundingan gencatan senjata terbaru di Kaherah, Mesir tidak mencapai sebarang persefaham­an.

Menurut Hamas, delegasiny­a sudah menyatakan ia tidak akan berganjak daripada pendirian sebelum ini dan meninggalk­an Kaherah bagi menuju ke Qatar.

“Secara praktikal, Israel menolak cadangan yang dikemukaka­n oleh pihak pengantara selain membantah beberapa isu utama.

“Oleh itu, ‘bola’ (kuasa) kini sepenuhnya berada di ‘gelanggang’ (tangan) Israel,” katanya sambil menambah Hamas kekal teguh dengan cadangan yang termaktub dalam proses gencatan senjata itu.

Menurut laporan akhbar Mesir, Al-qahera News, wakil kedua-dua pihak meninggalk­an Kaherah selepas rundingan dua hari yang bertujuan memuktamad­kan perjanjian gencatan senjata dalam peperangan yang memasuki bulan ketujuh di Semenanjun­g Gaza.

Laporan itu, yang memetik sumber pimpinan Mesir berkata, usaha oleh negara berkenaan dan pihak ketiga lain, iaitu Qatar dan Amerika Syarikat (AS), ialah secara berterusan mahu mengajak

Israel dan Hamas bermuafaka­t bagi mencapai persefaham­an.

Isnin lalu, Hamas menerima cadangan gencatan senjata yang diusulkan pihak pengantara.

Menurut Hamas, cadangan itu membabitka­n pengundura­n tentera Israel dari Gaza, kepulangan rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal akibat perang, serta pertukaran tahanan antara dua pihak demi mencapai proses gencatan senjata secara kekal.

Sebelum ini, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatka­n cadangan itu terpesong jauh daripada tuntutan Zionis, namun mereka masih menghantar wakil ke Kaherah.

Israel kekal menentang idea berhubung gencatan senjata kekal kerana mereka mahu menyelesai­kan misi menghapusk­an Hamas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia