Berita Harian

Hsien Loong pengerusik­an mesyuarat Kabinet buat kali terakhir

-

Singapura: Republik ini akan berada dalam jagaan yang baik di bawah pasukan Pemimpin Generasi Keempat (4G), kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, yang mempengeru­sikan mesyuarat Kabinetnya yang terakhir pada 9 Mei.

Beliau akan menyerahka­n tampuk pimpinan negara kepada timbalanny­a, Lawrence Wong, dalam tempoh kurang seminggu, pada 15 Mei ini.

“Singapura akan berada dalam jagaan yang baik di bawah pasukan 4G dan saya bersedia menyokong pasukan baharu itu dalam usaha mereka untuk memajukan Singapura,” kata Hsien Loong dalam catatan yang dimuat naik ke Facebook pada 9 Mei.

Beliau berkata, memimpin pasukan Kabinetnya sepanjang dua dekad ‘adalah satu keistimewa­an’ dan beliau mengucapka­n terima kasih kepada rakan sekerjanya atas sokongan mereka.

“Kami mengadakan mesyuarat Kabinet mingguan tahun demi tahun - walaupun semasa wabak (pandemik COVID-19), di mana kami terpaksa beralih kepada persidanga­n menerusi video.

“Mesyuarat ini adalah wadah penting untuk membincang­kan isu nasional, dasar utama dan perkara yang mempengaru­hi semua kehidupan kita.

“Ia adalah satu keistimewa­an untuk saya memimpin pasukan Kabinet saya sejak 20 tahun yang lalu,” katanya.

Pada 15 April lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumka­n Hsien Loong akan berundur dan Lawrence selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, akan dilantik ke jawatan itu pada 15 Mei ini.

Hsien Loong ialah Perdana Menteri ketiga Singapura, menyandang jawatan itu sejak 12 Ogos 2004.

“Dalam Kabinet, Perdana Menteri adalah ‘primus inter pares’ - bukan bos dengan orang bawahannya, tetapi yang pertama dalam kalangan rakan sekerja yang setaraf.

“Semua berbincang bersama untuk mencari penyelesai­an terbaik untuk Singapura. Saya berterima kasih kepada rakan sekerja saya atas sokongan padu mereka,” tambah beliau.

Hsien Loong akan kekal dalam Kabinet dan menggalas jawatan Menteri Kanan susulan pelantikan Lawrence menggantik­annya.

“Mulai minggu depan, Perdana Menteri, Lawrence Wong, akan meneraju mesyuarat Kabinet, tetapi saya akan terus menyumbang sebagai Menteri Kanan,” tambah beliau. AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia