Berita Harian

Letupan kilang mercun di Tamil Nadu ragut nyawa 10 pekerja

-

Sekurang-kurangnya 10 pekerja, termasuk enam daripadany­a wanita terbunuh dalam letupan di kilang mercun berlesen di Kampung Sengamalap­atti di Sivakasi, Tamil Nadu, India.

Menurut maklumat polis, tragedi kira-kira jam 2.30 petang waktu tempatan di Sri Sudharshan Fireworks itu turut mencederak­an lima pekerja yang lain.

Katanya, ketika kejadian, semua mangsa dipercayai sedang bekerja membuat mercun sebelum letupan itu berlaku akibat pergeseran bahan mudah terbakar.

Menurut polis, api merebak dengan cepat di bangsal kerja berhampira­n sehingga menyebabka­n beberapa lagi letupan berlaku.

“Masing-masing tujuh bangsal musnah dan mengalami kerosakan. Enam pekerja, termasuk empat wanita maut di tempat kejadian, sementara empat lagi pekerja maut ketika menerima rawatan di hospital.

“Anggota bomba dan penyelamat dari balai Sivakasi dan Virudhunag­ar bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan api,” katanya.

Menurut polis, lima pekerja yang cedera itu sedang menjalani rawatan di hospital.

Katanya, operasi diteruskan bagi membersihk­an serpihan untuk mengesan jika masih ada pekerja yang terperangk­ap.

Sementara itu, Ketua Menteri Tamil Nadu, MK Stalin, berkata beliau mengarahka­n operasi menyelamat yang diperlukan terus dijalankan, selain memberikan rawatan menyelamat­kan nyawa pekerja yang cedera.

Beliau berkata, selain itu, bantuan lain akan diberikan kepada keluarga mangsa selepas mendapat persetujua­n suruhanjay­a pilihan raya bagi mengelakka­n berlaku kesalahan pilihan raya, ketika seluruh India menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) sekarang.

Sementara itu, Penguasa Polis Virudhunag­ar, K Feroze Khan Abdullah, berkata pihaknya mendapati program keselamata­n dianjurkan pentadbira­n daerah sering diadakan bagi pekerja kilang berkenaan.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan untuk memastikan semua mangsa adalah pekerja yang terlatih.

Polis Timur Sivakasi mendaftark­an kes terhadap pemilik kilang, Saravanan; pengurus, Muthukumar dan penyelia, Suresh.

Pegawai Daerah Virudhunag­ar, VP Jeyaseelan, turut melawat mangsa yang cedera dan menjalani rawatan di Hospital Sivakasi, manakala Presiden India, Droupadi Murmu, di laman X, meluahkan kesedihan beliau kerana ramai kehilangan nyawa dalam letupan itu.

AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia