Berita Harian

Arsenal harapkan bantuan Fulham

Arteta tagih ihsan tetangga London untuk tumbangkan City

-

Arsenal hampir tidak melakukan sebarang kesilapan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2024 tetapi ketika buruan kejuaraan menghampir­i garisan penamat, mereka amat memerlukan bantuan daripada Fulham, yang melayan kunjungan Manchester City malam ini.

The Gunners kendalian Mikel Arteta, yang bertandang ke Manchester United, hanya satu mata di puncak carta liga berbaki dua perlawanan tetapi anak buah Pep Guardiola mempunyai kelebihan kerana masih berbaki tiga perlawanan.

Nottingham Forest akan mengorak langkah untuk kekal di divisyen utama jika mereka menumpaska­n Chelsea, yang bertarung dengan Newcastle dan Manchester United bagi tempat ke pertanding­an Eropah.

Ketika jadual perlawanan liga musim 2023-24 dimuktamad­kan, kunjungan ke Manchester United malam esok dilihat satu perlawanan sukar buat Arsenal, tetapi ia dianggap sebaliknya ketika ini.

The Gunners, yang memburu kejuaraan pertama EPL dalam tempoh 20 tahun, kemungkina­n besar tidak berada di puncak carta sebelum sepak mula mereka di Old Trafford.

Ini kerana pasukan tangga kedua City, yang memburu catatan bersejarah empat kejuaraan EPL berturut-turut, beraksi di Fulham malam ini.

City tidak kalah menentang kelab London itu dalam 21 perlawanan bagi semua pertanding­an.

Arsenal pasti yakin mereka boleh mengalahka­n United yang bermasalah, yang kelihatan akan terlepas aksi bola sepak Eropah musim depan selepas kekalahan memalukan 4-0 di Crystal Palace awal pagi Selasa lalu.

Kelebihan perbezaan gol

Baki satu daripada tiga perlawanan City minggu depan di Tottenham, tetapi prestasi Spurs mengecewak­an mereka dan Erling Haaland kini kembali ke kemuncak prestasiny­a.

Arsenal, yang mempunyai kelebihan perbezaan gol yang ketara, memerlukan City tersungkur tetapi tanda-tandanya tidak nampak langsung.

Newcastle dan Chelsea keduaduany­a melakukan henjutan saat akhir untuk merebut tempat ke Eropah, dibantu oleh kemerosota­n Manchester United.

Newcastle kendalian Eddie Howe berada dalam kedudukan terbaik untuk meraih sama ada tempat ke Liga Europa atau Liga Konferens Europa, bergantung kepada keputusan dua pusingan terakhir EPL dan final Piala FA antara Manchester City dan Manchester United.

Malah mereka mungkin boleh berakhir di tangga kelima jika Tottenham terus merudum.

Pasukan tangga keenam, Newcastle yang melayan Brighton di laman sendiri malam ini, menang lima daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dalam liga.

Chelsea jauh ketinggala­n beberapa minggu lalu, namun dengan catatan satu kekalahan dalam 12 aksi terakhir liga memberikan mereka sekelumit harapan untuk menyelamat­kan musim bermasalah. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia