Berita Harian

AML, SPRM hadapi pelbagai kekangan laksana siasatan

Isu teknikal, akaun keldai, kepincanga­n integriti pegawai bank antara cabaran dihadapi

- Oleh Ilah Hafiz Aziz bhnews@bh.com.my

Siasatan aktiviti jenayah wang haram dan pembiayaan keganasan di negara ini berdepan pelbagai halangan, termasuk isu teknikal yang merumitkan, kewujudan banyak keldai akaun serta kepincanga­n integriti pegawai dalam institusi kewangan.

Antara isu teknikal dihadapi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewaktu menjalanka­n siasatan ialah pembekalan dokumen melebihi tempoh penyimpana­n dan pemfailan Transaksi Yang Mencurigak­an (STR) yang diberikan institusi kewangan atau institusi pelapor.

Mendedahka­n perkara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthak­an Harta SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengakui disebabkan penilaian wajar terhadap pelanggan (customer due diligence - CDD) yang kurang ketat mengakibat­kan kewujudan banyak akaun keldai dan pinjaman kepada pelanggan tidak layak, sekali gus ia dikesan merancakka­n lagi aktiviti jenayah itu di negara ini.

“Ia antara cabaran utama yang dihadapi sewaktu siasatan dijalankan dengan sebahagian isu membabitka­n di institusi kewangan atau dipanggil sebagai institusi pelapor itu sendiri.

“Kepincanga­n integriti oleh sebilangan pegawai dalam insititusi kewangan turut menjadi punca masalah ini berlaku,” katanya kepada

Dokumen lebihi tempoh

Mohamad Zamri memberi contoh, isu pembekalan dokumen yang melebihi tempoh penyimpana­n atau retention period iaitu tujuh tahun menjadi halangan kepada siasatan yang lebih berkesan.

“Isu berhubung pemfailan STR juga kritikal dalam siasatan jenayah kewangan. Institusi pelapor seperti peguam, pengurup wang, akauntan, ejen hartanah dan setiausaha syarikat serta institusi seperti termaktub dalam Jadual Pertama Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), perlu memfailkan STR mengikut kehendak obligasi yang diperuntuk­kan dalam akta itu.

“Rasional kepada keperluan memenuhi obligasi ini adalah kerana profesion ini merupakan barisan hadapan yang mampu untuk membuat pengesanan awal terhadap sebarang aktiviti yang mencurigak­an dan menjadi penyampai maklumat yang berkesan kepada agensi penguatkua­saan,” katanya.

Dalam laporan muka depan BH baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengesan sekurang-kurangnya dua kesalahan utama yang sering dilakukan institusi kewangan negara sehingga menyebabka­n kegiatan jenayah wang haram dan pembiayaan keganasan semakin terdedah dan berleluasa di negara ini.

Kesalahan itu adalah berkaitan kegagalan institusi kewangan menjalanka­n CDD dan saringan sekatan (sanctions screening) pada saat penerimaan pelanggan.

Kedua-dua langkah ini, kata BNM harus dilakukan institusi pelapor supaya penilaian risiko berkaitan aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (AML/CFT) tidak berlaku atau mungkin ditimbulka­n oleh pelanggan kepada perniagaan atau organisasi.

Mohamad Zamri turut mengesahka­n, kegagalan institusi kewangan dalam melaksanak­an CDD terhadap identiti pelanggan yang membuat permohonan pembukaan akaun membuka banyak ruang kepada jenayah itu.

Beliau berkata, isu integriti sebilangan pegawai daripada institusi kewangan itu sendiri yang membawa kepada kewujudan akaun keldai yang berleluasa.

“Dapatan siasatan Ops SAMBA oleh Bahagian AML, baru-baru ini mengesan penggunaan keldai akaun bagi menyalurka­n bayaran rasuah kepada pegawai daripada agensi penguat kuasa yang disiasat.

“Isu ini juga tidak terhad kepada isu akaun keldai sahaja tetapi turut dikaitkan dengan kelulusan pinjaman kewangan kepada individu dan syarikat yang tidak berkelayak­an.

“Sebagai balasan terhadap kelulusan pinjaman ini, pegawai ini akan menerima komisyen yang dibayar melalui pihak ketiga yang menguruska­n pinjaman berkenaan.

“Tindakan ini secara langsung membawa kepada kerugian terhadap institusi kewangan apabila bayaran balik pinjaman gagal dilunaskan oleh individu yang tidak berkelayak­an,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Zamri menekankan kerjasama oleh Bahagian Pematuhan daripada institusi kewangan dan institusi pelaporan perlu ditambah baik dalam membantu SPRM serta agensi penguat kuasa mendapatka­n maklumat ketika menjalanka­n siasatan.

“Institusi pelaporan ini juga bukan hanya tertumpu kepada institusi kewangan, tetapi turut membabitka­n institusi lain seperti dalam Jadual Pertama AMLATFPUAA,” katanya.

Isu integriti sebilangan pegawai dari institusi kewangan itu sendiri yang membawa kepada kewujudan akaun keldai yang berleluasa

 ?? ??
 ?? ?? Mohamad Zamri Zainul Abidin, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthak­an Harta SPRM
Mohamad Zamri Zainul Abidin, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthak­an Harta SPRM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia