Berita Harian

Sock Tao susun gerak kerja dengar masalah rakyat

-

Kira-kira 12 jam selepas diumumkan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao memulakan hari pertamanya sebagai wakil rakyat baharu kawasan itu semalam dengan bertemu masyarakat bagi melahirkan penghargaa­n dan terima kasih.

Beliau juga memaklumka­n pusat khidmatnya akan mula beroperasi hari ini, menggunaka­n pejabat mendiang wakil rakyat terdahulu, Lee Kee Hiong di Taman Gamelan dan pada masa sama mencari rumah di Kuala Kubu Bahru secepat mungkin supaya beliau boleh memberi sepenuh tumpuan kepada masyarakat setempat.

“Perancanga­n pertama saya ialah cari rumah secepat mungkin dan memulakan operasi pusat khidmat serta menyusun gerak kerja bersama pasukan sedia ada untuk mendengar masalah rakyat,” katanya yang berkelulus­an Ijazah Sarjana Kejurutera­an Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Anak kelahiran Ampang, Selangor berusia 31 tahun ini yang juga bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut mengambil kesempatan sambutan Hari Ibu semalam untuk menghadiah­kan bunga kepada penduduk Kuala Kubu Bharu yang ditemuinya.

Usaha selesai pelbagai isu

“Terima kasih pengundi Kuala Kubu Bharu yang telah menunaikan tanggungja­wab mengundi. Saya akan terus bekerja dan berusaha menyelesai­kan isu,” katanya sambil menegaskan beliau mahu menjadi ‘wakil rakyat untuk semua penduduk KKB’.

“Saya ingin mendengar dan

mencari mana masalah yang paling terdesak kepada penduduk tempatan. Saya akan cuba bergerak sebagai pasukan untuk menyelesai­kan masalah tempatan bagi menjamin kesejahter­aan rakyat.

“Saya wakil rakyat kepada semua penduduk Kuala Kubu Baharu, tidak kira bangsa, agama dan latar belakang politik. Saya berhasrat untuk mewakili semua penduduk Kuala Kubu Baharu,” katanya.

Sock Tao turut merakamkan

ucapan penghargaa­n kepada mendiang Kee Hiong yang berdedikas­i menjaga kebajikan penduduk kawasan DUN itu sepanjang khidmatnya sejak menang Pilihan Raya Negeri (PRN), tahun lalu.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapka­n terima kasih kepada seluruh jentera daripada Pakatan Harapan, terutamany­a Barisan Nasional. Inilah kemenangan buat penduduk, pengundi Kuala Kubu Baharu,” ujarnya.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya kempen PH sepanjang dua minggu menjelang PRK kelmarin melanggar undang-undang, beliau yakin ia adalah sebaliknya sambil menegaskan mana-mana pihak terutama pembangkan­g berhak mengemukak­an petisyen jika ada bukti terhadap dakwaan terbabit.

“Saya yakin kempen 14 hari kami mengikut peruntukan undang-undang dan berhemah,” katanya.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Sock Tao beramah mesra dan menghadiah­kan bunga kepada seorang peniaga di Pasar Awam Kuala Kubu Bharu, sempena Hari Ibu, semalam.
(Foto BERNAMA) Sock Tao beramah mesra dan menghadiah­kan bunga kepada seorang peniaga di Pasar Awam Kuala Kubu Bharu, sempena Hari Ibu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia