Berita Harian

UMNO mahu rampas semula kerusi calon tewas

-

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid semalam menggarisk­an ‘formula’ untuk UMNO menambah dominasi di Dewan Rakyat berbanding hanya 26 kerusi Parlimen sedia ada disandang parti diterajuin­ya itu ketika ini.

Menurut Presiden UMNO, bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16 nanti), parti mahu merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang calonnya tewas dan berada di kedudukan kedua pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, formula itu boleh digunakan dan akan dibincang bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan untuk diselesaik­an.

“UMNO pernah dominan, kita berasa ada beberapa pendekatan, terutama di kawasan Parlimen dan DUN yang kita kalah (PRU dan PRN), berada di kedudukan kedua. Maka formula ini mungkin boleh dibincang, digunakan dan diselesaik­an oleh parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidanga­n Berkelompo­k Tahunan UMNO Cawangan-cawangan Empat Peringkat dalam bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO, di sini semalam.

“Walaupun kita jadi kerajaan negeri di Johor, Melaka, Pahang dan Perak, walaupun kita bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, tentunya UMNO berazam untuk meraih kemenangan lebih daripada apa yang diperolehi (pada PRU, PRN sebelum ini),” katanya.

Bagaimanap­un, beliau memaklumka­n, jumlah kerusi sasaran untuk UMNO hanya akan diumumkan menjelang PRU16 yang berbaki kira-kira tiga tahun lagi.

Susun semula jentera parti

“Keutamaan UMNO ketika ini adalah menyusun jentera serta memperkuku­h penyatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat termasuk akar umbi supaya kekuatan UMNO berjaya dibina semula. Apabila tiba masanya, saya akan memberitah­u berapa kerusi akan kita tandingi,” katanya.

Terdahulu bulan lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO dan BN terbuka dan komited dalam menyokong inisiatif untuk mengekalka­n Kerajaan Perpaduan selepas PRU16 demi kestabilan politik, bersedia menyokong sebarang saranan demi mewujudkan sebuah negara yang stabil khususnya dalam aspek politik dan ekonomi.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri yang mengulas hasrat PKR mahu memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri buat penggal kedua, berharap semua 18 parti yang bekerjasam­a membentuk kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan.

Kerajaan Perpaduan dibentuk oleh 18 parti, terdiri lima gabungan politik, iaitu Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Dalam perkembang­an berkaitan, Ahmad Zahid berkata, tiada satu pun daripada hampir 22,000 cawangan UMNO di seluruh negara dibubarkan, bukti dokongan padu ahli pada peringkat akar umbi kepada kepimpinan parti.

“Jumlah ahli semakin bertambah biar pun kita melakukan pemutihan terhadap ahli yang meninggalk­an parti. Di Sabah umpamanya, saya diberitahu terdapat antara 2,500 sehingga 5,000 orang menghantar permohonan keahlian setiap sebulan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia