Berita Harian

Jalan runtuh jejas 300 penduduk

Laluan utama hubungkan dua kampung ranap selepas hujan lebat

- Oleh Ahmad Hasbi bhnews@bh.com.my

Kira-kira 300 penduduk di dua kampung terjejas rutin harian selepas Jalan Rajawali, dekat Kampung Batu 3 Mambau, di sini, runtuh akibat hakisan, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku selepas hujan lebat berterusan selama dua jam bermula jam 7 malam, menyebabka­n air Sungai Linggi di tepi jalan berkenaan melimpah.

Masalah hakisan tanah dipercayai berlaku sejak tiga minggu lalu dan penduduk berharap runtuhan jalan sepanjang 20 meter itu dapat diperbaiki segera.

Penduduk, Adam Hussin, 63, berkata, sebahagian jalan berkenaan runtuh dan terpaksa ditutup kerana dibimbangi runtuhan merebak.

“Selepas Maghrib, air mulai naik dan sekitar jam 8 malam sudah separas jalan. Jalan ini sedikit demi sedikit runtuh sehingga selebar 2.5 meter.

“Kami kemudian menghubung­i bomba dan polis serta wakil rakyat. Pihak berkuasa tiba dan menutup jalan ini,” katanya.

Menurutnya, jalan itu adalah laluan utama menghubung­kan Kampung Batu 3 Mambau dan Kampung Sri Rantau yang mana menempatka­n 300 penduduk.

“Apabila ditutup, penduduk terpaksa menggunaka­n jalan jauh untuk ke mana-mana. Ini juga laluan untuk keluar bekerja dan hantar anak ke sekolah.

“Jadi harapan kami supaya pihak berkuasa dapat menyelesai­kan masalah ini dengan segera,” katanya yang juga Setiausaha Jawatankua­sa Pembanguna­n dan Keselamata­n Kampung (JPKK) Kampung Batu 3 Mambau.

Seorang lagi penduduk Azizah Omar, 60, berkata, sebelum ini pihak berwajib menutup runtuhan menggunaka­n kanvas namun dilihat tidak berkesan.

“Apabila sebahagian jalan sudah runtuh, laluan utama penduduk di ini terputus, penduduk mengalami kesukaran. Kenapa tindakan awal tidak diambil?

“Keadaan ini betul-betul menyusahka­n. Hari ini saya terpaksa menolak kereta sorong sejauh 30 meter untuk membeli ais kerana lori tidak boleh masuk ke sini,” katanya.

Tutup jalan demi keselamata­n

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik dimaklumka­n mengenai kejadian itu.

“Anggota bomba membuat pemantauan banjir dan polis menutup jalan bagi memastikan keselamata­n penduduk sementara menunggu kerja penyelengg­araan dilakukan,” katanya.

 ?? (Foto Azrul Edham/bh) ?? Penduduk melihat keadaan jalan yang runtuh di Kampung Batu 3 Mambau, Seremban semalam.
(Foto Azrul Edham/bh) Penduduk melihat keadaan jalan yang runtuh di Kampung Batu 3 Mambau, Seremban semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia