Berita Harian

Kadar penganggur­an kekal tahap 3.3 peratus

Pasaran buruh dijangka terus kukuh disokong pemulihan ekonomi, perdaganga­n

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin zaky@bh.com.my

guna tenaga penuh di Malaysia dijangka berterusan dengan kadar penganggur­an kekal pada tahap 3.3 peratus tahun ini.

MIDF Research berkata, setakat suku pertama 2024, kadar penganggur­an purata berada pada 3.3 peratus, berbanding kadar 2023 iaitu 3.4 peratus, manakala tenaga buruh dan guna tenaga meningkat, masing-masing sebanyak 1.7 peratus dan 2.0 peratus.

“Pasaran buruh di Malaysia dijangka terus kukuh pada 2024, disokong oleh momentum yang menggalakk­an dalam ekonomi domestik dan pemulihan dalam perdaganga­n luar.

“Kadar penganggur­an purata Malaysia dijangka kekal pada 3.3 peratus pada 2024,” katanya dalam nota penyelidik­an.

MIDF Research berkata, untuk suku pertama 2024, purata kekosongan jawatan ialah 126,200, lebih rendah daripada 166,900 tahun lalu.

Bagaimanap­un, kekosongan jawatan masih lebih tinggi daripada purata sebelum pandemik iaitu 114,000 (2009-2019).

Berbanding dengan Februari 2024, jawatan kosong meningkat sebanyak 17.3 peratus bulan ke bulan, antara lain disokong oleh pembuatan 50.5 peratus bulan ke bulan dan perkhidmat­an 17.8 peratus.

“Kami meramalkan purata kekosongan jawatan akan berlegar pada paras 100,000 hingga 120,000 sebulan untuk 2024, hasil daripada pemulihan perdaganga­n luar dan permintaan domestik yang berdaya tahan,” katanya.

Pasaran kerja stabil

Firma penyelidik itu berkata, permintaan domestik yang lebih baik dijangka memberi sumbangan positif kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) disokong pasaran pekerjaan yang stabil dan sihat.

“Kami menjangkak­an sumbangan penggunaan domestik yang lebih baik untuk prestasi KDNK suku pertama 2024 disebabkan oleh pertumbuha­n guna tenaga yang stabil 2.0 peratus tahun ke tahun dan kadar penganggur­an rendah 3.3 peratus,” katanya.

MIDF Research berkata, jumlah penganggur kekal pada 567,000 pada Mac 2024, sedikit tinggi sekitar 48,000 tinggi daripada purata penganggur berjumlah 519,000 pada 2019.

Bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun, kadar penganggur­an kekal pada paras terendah pasca wabak iaitu 10.6 peratus (2019: 10.4 peratus).

Mengikut jenis pekerjaan, pekerja yang membentuk kira-kira 75.2 peratus daripada pekerjaan meningkat secara berterusan sebanyak 1.3 peratus tahun ke tahun manakala majikan (3.5 peratus daripada pekerjaan) dan pekerja akaun sendiri (18.3 peratus daripada pekerjaan), masing-masing meningkat sebanyak 4.8 peratus dan 4.2 peratus tahun ke tahun pada bulan terakhir suku pertama tahun ini.

MIDF Reseach berkata, kemasukan semula pekerja asing dijangka meningkatk­an kadar tenaga buruh keseluruha­n dan mengurangk­an kadar penganggur­an.

“Sehingga 2023, pekerjaan asing adalah 2.4 peratus lebih rendah daripada tahap sebelum pandemik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia