Berita Harian

Bursa didagang dalam julat kecil

Indeks dijangka turun naik dalam julat 1,600 hingga 1,620 minggu ini

- BERNAMA

Bursa Malaysia dijangka mencatatka­n dagangan dalam julat kecil dan mengalami tidak banyak perubahan susulan kenaikan baru-baru ini, sejajar dengan ekuiti global, kata peniaga.

FBM KLCI melepasi paras utama 1,600 pada Selasa, mengekalka­n kenaikan kukuh berterusan dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Naib Presiden Penyelidik­an Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata unjuran jangka masa panjang FBM KLCI kekal positif, dipacu oleh keuntungan korporat yang kukuh, penilaian murah dan sokongan besar daripada pelabur asing.

“Walaupun kami menjangkak­an aktiviti pembelian berterusan yang kukuh terhenti seketika selepas lonjakan baru-baru ini, indeks itu kekal berada di atas semua purata pergerakan eksponen (EMA).

“Trajektori meningkat bagi EMA 20 hari dan 50 hari menunjukka­n KLCI berada di fasa tidak banyak berubah dengan kecenderun­gan positif,” katanya.

Beliau berkata indeks dijangka turun naik dalam julat 1,600 hingga 1,620 minggu ini.

Capai permodalan pasaran

Dalam pada itu, Bursa Malaysia mencapai permodalan pasaran berjumlah RM2 trilion pada 7 Mei buat kali pertama dan terus meningkat sebelum kembali rendah pada 9 Mei.

“Pelabur asing terus membeli ekuiti Malaysia minggu ini dengan aliran masuk harian dari 6 hingga 8 Mei, sebelum mencatatka­n aliran keluar yang kecil pada 9 Mei.

“Di peringkat rantau, Malaysia adalah satu-satunya negara yang menarik belian bersih asing berterusan dari 6 hingga 8 Mei,” menurut bursa dalam kenyataan pada Jumaat.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 11.08 mata kepada 1,600.67 daripada 1,589.59 pada minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 116.57 mata kepada 12,086.68; Indeks FBM 70 melonjak 223.35 mata kepada 16,960.37; dan Indeks FBMT 100 menambah 100.05 mata kepada 11,697.17.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 91.25 mata kepada 12,284.55 manakala Indeks FBM ACE naik 32.20 mata kepada 5,166.75.

Berdasarka­n sektor, Indeks Perkhidmat­an Kewangan melonjak 232.36 mata kepada 17,522.77; Indeks Perladanga­n naik 4.56 mata kepada 7,424.43; Indeks Produk dan Perkhidmat­an Perindustr­ian meningkat 1.43 mata kepada 192.27 dan Indeks Tenaga menokok 18.31 mata kepada 985.16.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, jumlah dagangan meningkat kepada 24.57 bilion unit bernilai RM16.89 bilion daripada 16.10 bilion unit bernilai RM13.43 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 14.76 bilion saham bernilai RM14.65 bilion daripada 9.79 bilion saham bernilai RM12.02 bilion seminggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran sebanyak 4.79 bilion unit bernilai RM709.51 juta berbanding 4.17 bilion unit bernilai RM606.55 juta minggu sebelumnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia