Berita Harian

Anna Jobling belum terfikir berhijrah ke Indonesia

-

Biarpun menempa nama di Indonesia, namun pelakon jelita, Anna Jobling, 23, tidak mempunyai perancanga­n berhijrah ke negara seberang.

Pelakon yang mula melonjak populariti menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu berkata, dia serius melebarkan sayapnya ke negara seberang, malah kini gigih mengikuti kelas bahasa Indonesia, setiap minggu.

“Buat masa ini, saya belum bersedia melepaskan komitmen di Malaysia. Lakonan masih rancak, malah tawaran sebagai duta produk pun banyak diterima.

“Jujurnya, saya tak berani nak jawab sama ada mahu berhijrah ke Indonesia. Saya belum ada perancanga­n dan memilih untuk berulang-alik terlebih dahulu.

“Saya masih sayangkan kerjaya di Malaysia. Saya bersama pengurus cuba menyusun dan memastikan jadual kerja di Malaysia dan Indonesia seimbang.

“Namun, saya sangat serius membina nama di Indonesia, lagipun bukan mudah menembusi pasaran di sana.

“Jadi, bila dapat peluang tentunya saya tak mahu lepaskan,” katanya kepada HIP.

Anna berkata, biarpun kerap berulang-alik, namun dirinya tak pernah rasa lelah, sebaliknya seronok dengan peluang keemasan gara-gara populariti drama Melur Untuk Firdaus yang memberi impak besar hingga namanya dikenali hingga ke Indonesia.

Bagaimanap­un, kata Anna, dia akan tetap memastikan menerima sekurang-kurangnya dua atau tiga naskhah di Malaysia supaya namanya kekal relevan dalam industri tempatan.

“Kerjaya saya di Malaysia boleh dikatakan sudah stabil, tetapi untuk mempertaha­nkan nama, saya akan cuba untuk berlakon dalam beberapa naskhah sepanjang tahun.

“Berbeza di Indonesia, kerjaya saya baru nak bermula. Saya tak bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan, tapi semuanya dimulakan daripada bawah.

“Saya baru nak cari tapak, tetapi bersyukur sudah dapat beberapa peluang.

“Setakat ini, saya sudah terbabit dengan empat naskhah termasuk drama dan filem. Saya juga terbang ke Korea Selatan bagi menjalani penggambar­an untuk filem hujung bulan ini.

“Sekembali dari Korea Selatan, saya akan terus pulang ke Malaysia untuk penggambar­an drama,” katanya yang turut membintang­i filem seram, Lembayung yang bakal ditayangka­n pada Julai depan.

 ?? ?? Anna sudah terbabit dengan empat naskhah drama dan filem di Indonesia.
Anna sudah terbabit dengan empat naskhah drama dan filem di Indonesia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia