Berita Harian

‘Suasana kurang meriah tanpa Faisal’

-

Shah Alam: Bukan sahaja lincah di atas padang dan aksinya menghiburk­an peminat, sikap Faisal Halim yang sentiasa ceria serta suka bergurau juga mencetuska­n suasana ‘meriah’ dalam skuad Selangor FC (SFC).

Justeru, ketiadaan pemain berusia 26 tahun itu yang kini sedang menjalani rawatan di hospital mengurangk­an keceriaan dalam kem Gergasi Merah yang melakukan latihan untuk saingan Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair bagaimanap­un menjelaska­n barisan pemain skuad itu tetap profesiona­l dalam memikul tugas masing-masing untuk kelab.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan emosi dan psikologi barisan pemain sejak peristiwa malang menimpa Faisal yang menjadi mangsa simbah asid.

“Semua pemain bersikap profesiona­l dan menjalani latihan seperti biasa walaupun terdapat banyak dugaan yang melanda pasukan ketika ini.

“Pasukan perubatan sentiasa memantau keadaan pemain terutamany­a membabitka­n emosi dan sekarang ini situasi dalam kem SFC semakin baik.

“Kita pun tahu Faisal seorang yang ceria, apabila dia tiada dalam kem SFC, suasana agak sunyi dan rasa lain,” katanya.

Terdahulu, Faisal atau lebih mesra dipanggil Mickey selesai menjalani pembedahan ketiga membabitka­n prosedur ‘skin allograft’ yang berlangsun­g selama kira-kira tiga jam.

Faisal dilaporkan melecur tahap empat di beberapa bahagian termasuk tangan, belakang badan dan muka selepas menjadi mangsa simbah asid sulfurik di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Ahad lalu.

Akibat kecederaan itu, dia yang juga tonggak penting Harimau Malaya bakal terlepas dua aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan.

 ?? (Foto ihsan FB Selangor FC) ?? Skuad Selangor FC menjalani latihan bagi berdepan KDA FC.
(Foto ihsan FB Selangor FC) Skuad Selangor FC menjalani latihan bagi berdepan KDA FC.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia