Berita Harian

Naskhah klasik dalam catan songket

Faizal pamer lukisan berkait episod peminangan Puteri Gunung Ledang

- Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bh.com.my

Naskhah klasik kesusaster­aan Melayu mampu mencetus inspirasi kepada pembaca yang benar-benar menikmati khazanah besar bangsa yang tidak ternilai itu.

Ibarat pepatah lama, apa yang baik jadikan teladan, perkara yang buruk dijadikan sempadan, maka naskhah seperti Sulalatus

Salatin atau Hikayat Hang Tuah terbuka kepada seribu tafsiran.

Bagi pelukis dan kurator, Faizal Sidik, episod peminangan Puteri Gunung Ledang yang terakam dalam kedua-dua naskhah itu merakamkan kegilaan penguasa memuaskan nafsunya sendiri meskipun terpaksa meletakkan beban yang bukan sedikit kepada rakyatnya.

Reaksi Faizal terhadap episod itu menzahirka­n siri lukisan peminangan Puteri Gunung Ledang yang menghimpun­kan 18 lukisan landskap menuju ke puncak gunung.

Sebahagian daripada 54 karya seni halus

Siri itu menjadi sebahagian daripada 54 karya seni halus yang dipamerkan menerusi Pameran

‘Faizal Sidik: Catan Songket’ di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya (UM) di sini.

Jelas Faizal, kisah yang diangkat daripada teks klasik itu walaupun sudah berabad-abad berlalu, mesejnya kekal relevan hingga ke hari ini kerana ia adalah peringatan supaya tidak mengulangi kesilapan serupa.

Namun sesuai dengan namanya songket, catan dengan pelbagai warna dan gaya dipersemba­hkan kepada khalayak sebagai bukti orang Melayu memiliki kehebatan yang setara dengan penggiat seni antarabang­sa.

Tradisi songket bukti kebijaksan­aan pembuat

“Tradisi songket ialah bukti kebijaksan­aan pembuatnya dalam sifir matematik ditambah dengan tenunannya halus dan kaya pula dengan corak serta motif.

“Karya ini boleh dikongsi bersama-sama dalam arena seni lukis antarabang­sa, apatah lagi ia juga seni kraf tradisiona­l Malaysia yang sangat dikenali,” katanya.

Malah dalam konteks yang lebih luas, catan songket itu sendiri menjadi kesinambun­gan tradisi seni Melayu itu. Menarik juga untuk melihat Taman Impian Ledang II yang dihasilkan dengan ukuran 549 sentimeter (cm) x 123.5 cm yang mungkin boleh dikatakan sebagai catan songket terpanjang yang pernah dihasilkan.

Catan itu memperliha­tkan ketelitian Faizal dalam menggambar­kan sebuah taman yang dipenuhi bunga-bungaan.

Secara keseluruha­n, pameran itu menghimpun­kan 10 catan, 40 lukisan dan lakaran serta empat arca yang mengambil inspirasi corak bunga songket antara lainnya bunga bintang, bunga tanjung, matahari dan awan larat.

 ?? [FOTO SAIFULLIZA­N TAMADI/BH] ?? Faizal bersama karya lukisan Gunung Ledang yang dipamerkan di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya.
[FOTO SAIFULLIZA­N TAMADI/BH] Faizal bersama karya lukisan Gunung Ledang yang dipamerkan di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia