Berita Harian

TNB tak tawar diskaun bil tertunggak

Pengguna dinasihat tidak terpedaya helah individu mengaku ejen kutipan

- Oleh Haryani Ngah

Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak menawarkan diskaun untuk bil tertunggak, demikian dijelaskan Pengurus Besar Kanan (Perkhidmat­an Pengguna), Bahagian Pembahagia­n TNB, Kamaliah Abdul Kadir.

Justeru katanya, pengguna dinasihat supaya tidak terpedaya dengan helah individu atau pihak ketiga yang mendekati mereka bagi sebarang tujuan pembayaran bil elektrik.

Aduan pengguna ditipu

Katanya, TNB ada menerima aduan pengguna yang ditipu dengan tawaran diskaun bil sehingga 45 peratus dan pihaknya tidak menawarkan diskaun untuk bil tertunggak.

“TNB tidak pernah melantik ejen persendiri­an untuk menghubung­i atau mendekati pengguna bagi urusan pembayaran bil, bagaimanap­un masih ada pengguna yang mudah terpengaru­h dengan taktik pihak ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kamaliah memaklumka­n, bagi sesetengah pengguna yang mempunyai tunggakan bil elektrik selepas tamat tempoh kredit, mereka akan dihubungi Ejen Kutipan Bil TNB.

Namun, pengguna tidak akan diminta membuat bayaran terus kepada ejen berkenaan.

“Ejen Kutipan bil elektrik TNB yang sah hanya menerima pembayaran dalam bentuk tunai (kaunter pembayaran, kiosk layan diri dan mesin deposit tunai), debit terus kad kredit (online, autopay, phone banking) dan idebit Terus, akaun simpanan dan akaun semasa (online, autopay, direct debit, phone banking, mesin ATM).

“Ejen Kutipan TNB juga tidak menerima sebarang pembayaran melalui cek/deraf bank,” katanya.

Bulan lalu, seorang pemilik sebuah syarikat rugi RM26,132.25 selepas diperdaya dengan janji manis seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang mengaku boleh memberikan diskaun bil elektrik tertunggak antara 45 hingga 55 peratus.

Mangsa menyerahka­n bayaran kepada lelaki berkenaan selepas menawarkan potongan diskaun 55 peratus.

Bagaimanap­un, dua minggu kemudian, beliau menerima panggilan daripada TNB memaklumka­n akaun bil elektrik masih tertunggak berikutan TNB menerima ‘cek tendang’.

Katanya, TNB menyediaka­n pelbagai saluran pembayaran bagi memudahkan pengguna.

Pengguna boleh menjelaska­n bil mereka di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan TNB, perkhidmat­an online, di institusi kewangan, jabatan/agensi kerajaan dan syarikat pihak ketiga operasi kutipan bil dari lain-lain utiliti dan pembekal perkhidmat­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia