Berita Harian

Ringgit tidak akan ditambat

Bank Negara benar faktor pasaran tentukan paras mata wang

- Oleh Shahrizan Salian dan Che Wan Badrul Alias

Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan menambat nilai ringgit walaupun mata wang tempatan itu susut mendadak sepanjang urus niaga semalam.

Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim, berkata bank pusat akan terus membenarka­n faktor pasaran dalam menentukan paras semasa mata wang tempatan itu.

“Ringgit sepatutnya tidak boleh ditentukan oleh kedudukan spekulatif dan dalam hal ini, pasaran tukaran asing sebenarnya berada dalam kedudukan spekulatif.

“Adalah sangat penting supaya kita membenarka­n pasaran sendiri yang menentukan paras ringgit.

“Paras mata wang kita perlu disokong dan ditentukan oleh transaksi semasa seperti yang ditetapkan oleh kontrak bank pada setiap hari.

Tak arah beku derivatif

“Kami tidak mahu pasaran ditentukan oleh keadaan atau perkara tertentu yang langsung tiada kena mengena dengan asas (sebenar) ekonomi negara,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Muhammad berkata, BNM juga tidak mengarahka­n bank untuk membekukan urus niaga derivatif (pasaran hadapan) dan spot (pasaran semasa) membabitka­n ringgit bagi mengimbang­i ketidakten­tuan pasaran kewangan.

Katanya, jika ada sebarang perubahan dasar berhubung urus niaga derivatif dan spot yang membabitka­n ringgit, sudah pasti BNM akan mengumumka­n langkah berkenaan.

“Setakat ini tiada (arahan membekukan urus niaga derivatif dan spot). Kami cuba untuk berinterak­si dengan pasaran bagi memastikan ‘khabar angin’ dalam pasaran tidak bertiup terlalu kencang,” katanya.

Beliau berkata, ringgit secara umumnya susut berbanding hampir semua mata wang utama dunia dan serantau pada suku ketiga lalu.

Perkembang­an itu dicerminka­n oleh peralihan sentimen pelabur dan penyusunan semula aktiviti pelabur portfolio pada suku berkenaan, yang kebanyakan­nya disebabkan oleh perkembang­an luaran.

“Walaupun semua mata wang serantau terjejas oleh ketidakten­tuan berterusan yang dicetuskan oleh tempoh masa penentuan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), ringgit dan mata wang negara lain yang bergantung kepada komoditi berdepan penyesuaia­n tambahan disebabkan harga minyak mentah yang sangat tidak menentu pada suku ketiga,” katanya.

Secara keseluruha­n, ringgit susut tiga peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga lalu, susut berbanding euro (-3.9 peratus), yen (-4.2 peratus) dan dolar Australia (-5.5 peratus). Nilai ringgit pada suku ketiga hanya meningkat berbanding pound sterling iaitu 0.2 peratus.

Kadar OPR 3 peratus

Mata wang tempatan juga mencatatka­n penyusutan antara 1.8 peratus hingga 7.3 peratus berbanding kebanyakan mata wang serantau, kecuali peso.

BNM mengekalka­n kadar dasar semalaman (OPR) pada 3 peratus semasa Mesyuarat Dasar Monetariny­a, September lalu, selepas menurunkan­nya pada Julai.

Dasar monetari itu konsisten dengan pendirian untuk memastikan pertumbuha­n kukuh dalam keadaan inflasi stabil, disokong oleh perantara kewangan yang mantap.

Mesyuarat Dasar Monetari seterusnya akan diadakan 23 November ini.

 ?? [FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN/BH] ?? Pengurup wang, Mohamad Firdaus Mohamed Ali (kiri) melayani Romesh Syano, ketika menukar dolar AS di Seremban 2, Negeri Sembilan, semalam.
[FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN/BH] Pengurup wang, Mohamad Firdaus Mohamed Ali (kiri) melayani Romesh Syano, ketika menukar dolar AS di Seremban 2, Negeri Sembilan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia