Akhirnya Pak Pong masuk panggung

Filem komedi fantasi arahan Fauzi Nawawi temui penonton selepas lima tahun

Berita Harian - - HIP! | VARIASI -

Sebagai buah tangan pertama daripada Fauzi Nawawi, filem tentunya berdepan cabaran besar sebelum ia dapat ditayangkan kepada umum, mulai 23 Februari ini.

Menjalani penggambaran sekitar 2012, naskhah sulung arahan pelakon berbakat itu tertangguh tayangannya kira-kira lima tahun.

Justeru, apabila karya bercorak komedi fantasi terbitan 9 Country Creativity Sdn Bhd, yang menggandingkan pelakon Hairul Azreen dan Siti Saleha itu akhirnya bakal memasuki panggung, sudah tentu Fauzi kini mampu menarik nafas lega apabila hasil tangannya dapat juga ditonton.

Hadapi masalah kewangan

Ditemui pada majlis tayangannya, kata Fauzi, filem berkenaan mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan disebabkan oleh kekangan kewangan, selain penelitian terhadap teknik imej janaan komputer (CGI).

Naskhah terbabit menggunakan lebih 30 peratus teknik CGI, yang seterusnya menambahkan lagi kos produksi, menjadikan belanja keseluruhan filem itu mencecah RM3 Juta.

“Kami tidak berputus asa untuk terus mencari dana agar filem ini dapat disiapkan juga. Antara usaha itu termasuklah dengan mendapatkan bantuan dalam bentuk geran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bagi menyiapkan

CGI dalam filem ini.

“Ketika membuat kerangka cerita, saya tidak membayangkan Pak Pong akan menggunakan banyak kesan khas. Namun, bagi membezakan alam nyata dengan alam bunian, produksi memutuskan teknik CGI perlu digunakan.

“Jadi proses menyiapkan CGI turut memakan masa yang agak panjang, apatah lagi apabila proses itu tertangguh kerana kami tidak mempunyai dana yang cukup untuk menyiapkannya. Namun, apabila siap dan filem ini dapat masuk ke pawagam, saya bersyukur kerana penat lelah seakan berbayar,” katanya.

Tampil beberapa bintang lama

Meskipun begitu, menurut Fauzi, selepas lima tahun filem terbabit terperap, beliau tidak mengharapkan apa-apa kecuali ia mampu memberikan hiburan buat orang ramai.

“Apabila ditayangkan di pawagam nanti, diharapkan penonton dapat memberi sokongan dan terhibur dengan jalan cerita yang dipersembahkan,” katanya.

Selain Hairul Azreen dan Saleha, Pak Pong turut dibantu oleh Badrul, Fauzi, Datuk Eizlan Yusof, Kazar Saisi, Izreen Azminda dan Rahim Sepahtu.

Filem berkenaan turut menyaksikan kehadiran pelakon seperti Amber Chia, Jasmin Hamid, Saiful Apek, Shawal AF dan Lisdawati sebagai penampilan khas.

Dua kerja sekali gus

Menggalas dua tanggungja- wab iaitu sebagai pelakon dan pengarah, bagi Fauzi, ia sememangnya tugas berat.

Namun, pengalaman lebih 20 tahun dalam industri seni cukup buatnya untuk mengendalikan keseluruhan produksi.

“Apabila duduk di kerusi pengarah, saya tidak boleh berasa segan untuk menegur pelakon baharu mahupun seangkatan. Begitu juga ketika saya berlakon, saya perlu menerima setiap teguran yang diberikan pengarah.

“Menerusi filem ini juga, saya memberi ruang kepada ramai pelakon lama untuk muncul di layar perak. Ketika ini, rata-rata pelakon baharu saja lebih diberi peluang untuk berlakon filem, manakala orang lama seakan-akan dipinggirkan.

“Saya bertuah kerana mendapat pelakon yang hebat. Walaupun menampilkan seramai 24 pelakon, pengalaman masing-masing memudahkan saya mencorakkan lakonan mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.