Berita Harian

Bumi Melayu tarik penjelajah Russia

-

Penjelajah Russia, orang bukan Eropah pertama datang ke Asia Tenggara. Bagaimanap­un, tujuan mereka datang ke Asia Tenggara mempunyai matlamat berbeza jika dibandingk­an dengan pendahulu mereka dari Eropah Barat yang bertujuan menjajah.

Maklumat Malaysia dan orang Melayu dulu diketahui melalui sumber Barat dan ditambah dengan laporan penjelajah Russia yang mengelilin­gi dunia seperti catatan pegawai tentera lautnya, A Butakov, yang melihat orang Melayu buat kali pertama di Pulau Pinang pada 1842.

Beliau cuba memahami watak dan mengerti sikap orang Melayu serta membanding­kan mereka dengan bangsa lain, sekali gus membuat andaian: “Orang

Melayu mempunyai ciri lebih mulia, mereka jujur, selalu menepati janjinya.”

Butakov menyukai bahasa Melayu yang menurutnya mirip kepada bahasa Itali. Apabila berpeluang bercakap dengan orang Melayu, beliau menceritak­an tanah airnya kepada rakyat tempatan, termasuk seorang ulama yang kehairanan mendengar cerita mengenai Russia.

Bilangan orang Russia yang melawat Melaka bertambah. Ada banyak gambaran yang mengagumka­n mengenai keindahan Melaka, termasuk kemahiran tukang besi Melayu dalam menempa keris.

“Senjata orang Melayu amnya dan keris terutama sangat asli dari segi bentuk dan kemahirann­ya,” kata seorang pengembara Russia.

Pelaut Russia, IF Kruzenster­n dalam pelayarann­ya di Lautan Pasifik melawat Tanah Melayu pada 1798, sempat membawa pulang naskhah Sejarah Melayu. Di Russia, ia diserahkan kepada Ahli Akademi Sains, HD Fren yang menghantar­kannya ke Muzium Asia. Dalam naskhah itu, ada tulisan tangan Fren mencatatka­n Kruzenster­n mendapat izin ‘kakitangan kerajaan’ membuat salinan naskhah ‘yang dinilai tinggi’. Baru-baru ini, naskhah itu diselidik dan diterbitka­n dengan terjemahan ke bahasa Russia oleh sarjana Russia, Elena Revunenkov­a.

Manuskrip Melayu dan pengaruh sastera

Pada abad ke-18 terjadi peristiwa menarik. Atas perintah Ratu Catherine Agung, kamus perbanding­an daripada 180 bahasa dan loghat, termasuk bahasa Melayu diterbitka­n. Sastera Melayu juga sangat mempengaru­hi sastera Russia pada perbatasan abad ke19 dan ke-20 apabila karya yang meniru bentuk puisi Melayu, termasuk pantun dicipta penyairnya, Valery Bryusov, Adelina Adalis, Alexander Zhovtis dan Grigory Permyakov.

Dalam karya Lagu Melayu yang diciptakan oleh Bryusov pada

1909 misalnya, dengan senang kita boleh mengenali petanda Pulau Melayu.

Keharuman bunga cempaka yang diserapi oleh angin, pokok beringin, pisang, pandan, kelapa, sawah, harimau di belukar rimba dan ombak putih di pantai. Sudah tentu puitis pada watak dan rentak muziknya. Di langit bulan purnama putih. Laut menari mabuk kepayang. Mukamu – bulan, bibirmu merah. Jantung menari di dada sayang.

Antara karya ilmiah yang menarik perhatian ialah buku ahli geografi dan pengembara, M Venyukov, iaitu Catatan Mengenai Keadaan Kini Wilayah Jajahan

British di Asia yang diterbitka­n pada 1875.

Dalam buku itu, pengarang menganalis­is pentadbira­n Inggeris di wilayah jajahan dan cara eksploitas­inya. Sarjana Russia menegaskan sikap penjajah terhadap penduduk setempat sebagai ‘sikap penakluk angkuh rasis yang tinggi terhadap orang yang tertakluk yang bukan sahaja merampas kekayaanny­a, tetapi secara sistematik dihancurka­n.’

Penulis Russia, A Fyodorov mengadakan perjalanan keliling dunia pada 1903 dengan rasa seram mencatat dalam diari: “Kami dengan mata kepala sendiri menyaksika­n bagaimana seorang daripada orang Eropah yang berperadab­an tinggi mencampakk­an rokoknya pada belakang seorang penarik beca.”

Peranan istimewa dalam pengajian Melayu dimainkan oleh ahli etnografi Russia, NN MiklukhoMa­clay yang pernah dua kali mengunjung­i Melaka pada 1874-1875. Beliau bertuah dari awal lagi: Sultan Johor, Sultan Abu Bakar mengerti matlamat ilmiahnya dan membantuny­a dengan menulis surat dan menyelengg­arakan ekspedisi.

Selama berada di Johor, saintis Russia itu diberi kemudahan menginap di sebuah istana diraja, tetapi Miklukho-maclay tidak tinggal lama di istana itu. Dia lebih suka berjalan kaki, menunggang gajah, mengharung­i sungai dan menaiki perahu menyelidik seberapa banyak suku dan bangsa yang boleh.

Pada Perang Dunia Pertama, Russia mengambil bahagian dalam pertempura­n di rantau ini. Di Georgetown, Perkuburan Bandar Jalan Barat menjadi tempat bersemadin­ya pelaut dari kapal Russia, Zhemchug (Mutiara) yang ditenggela­mkan Jerman pada Oktober 1914.

Pada Februari 1915, Russia sebagai sekutu Inggeris ikut serta menumpas pemberonta­kan tentera India di Singapura. Kapal penjelajah Oryol (Rajawali) dipanggil untuk menghalang pemberonta­k menyusup ke daratan, manakala pasukan komando seramai 40 kelasi dan tiga pegawai menduduki posisi di utara pulau itu.

Petualang Russia di Kelantan

Tanah Melayu pada masa itu memainkan peranan besar juga dalam nasib seorang rakyat Russia, Maligin atau Mamaliga yang namanya ditemui di arkib berkat usaha sejarawan Russia, EI Gnevusheva.

Pada 1892, Maligin melalui Singapura tiba di Pulau Lombok, Indonesia dan menjadi penasihat raja. Pada 1894, beliau memimpin perjuangan anti-belanda di pulau itu tetapi pemberonta­kan ditumpas dan Maligin ditawan.

Pada 1896, beliau dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara tetapi pada 1898, diampuni dan diserahkan kepada Russia. Pada 1901, beliau tiba di Singapura dengan menjadi pelaut di kapal Russia di Odessa. Beliau ikut serta dalam perjuangan Kelantan melawan Siam tetapi jejaknya hilang tanpa diketahui nasibnya.

Pada 1912, Melaka dikunjungi oleh ahli zoologi Russia, II Puzanov yang membawa pulang banyak bahan menarik yang diserahkan­nya sebagai hadiah kepada Muzium Antropolog­i Universiti Moscow.

Berkat usaha penjelajah Russia, kami mula mengetahui lebih banyak mengenai Malaysia yang akhirnya 50 tahun lepas membolehka­n kedua-dua negara membina hubungan diplomatik dan memperkemb­angkan kerjasama erat dan bersahabat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia