Pembelajaran sepanjang hayat satu keperluan

Berita Harian - - INTERAKTIF -

Saya ingin merujuk tulisan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching mengenai ‘Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat’ yang disiarkan akhbar ini 19 Mei lalu. Seperti kata Henry Ford - ‘sesiapa yang berhenti belajar adalah seorang tua, tidak kira sama ada usia beliau dua puluhan atau lapan puluhan. Seseorang yang terus belajar akan kekal muda.’

Selesai sahaja majlis konvokesyen di sebuah pusat konvokesyen ternama baru-baru ini, seorang dari bekas pelajar menghampiri dan mengucapkan terima kasih kepada saya kerana memberi inspirasi dan perangsang kepada beliau untuk mencapai impian dan membina kerjaya beliau sebagai seorang guru.

“Sekarang saya mempunyai ijazah, saya boleh menumpukan perhatian kepada membina kerjaya saya tanpa perlu bimbang mengenai belajar,” katanya. Terkejut, saya bertanya kepadanya jika dia pasti zamannya belajar sudah berakhir, dan dia menjawab, ‘ya, saya bercadang untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya saya.’

Bagi kumpulan graduan yang berusia awal 20-an, mereka tentunya tidak sabar memulakan kerjaya selepas memasuki alam persekolahan sejak dari tadika hinggalah ke pusat pengajian tinggi. Bagi mereka, selesai sahaja upacara tamat pengajian atau majlis konvokesyen, maka selesai sudahlah persaingan di alam pendidikan, terutama selepas menerima dan menggenggam skrol ijazah.

Pendidikan universiti hanya satu permulaan

Seperti ramai rakan pelajar yang lain, mereka beranggapan dengan niat untuk membuktikan kepada dunia bahawa, dengan ijazah dalam tangan, mereka sudah selesai dengan tugasan pembelajaran yang mereka lalui. Bagi mereka yang pernah memulakan perniagaan atau projek, atau sedang membina kerjaya, mereka tahu bahawa pendidikan universiti hanyalah satu permulaan.

Ia hanya mengajar pelajar bagaimana untuk belajar, dan tidak ada istilah seperti pendidikan yang lengkap. Pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat.

Dalam perbualan ringkas saya dengan graduan muda yang ya- kin ini, saya menjelaskan bahawa, semua pemimpin yang hebat dia boleh fikirkan, mereka semua tanpa pengecualian percaya akan keperluan pembelajaran sepanjang hayat, dan hanya kerana satu sebab yang mudah - segalagalanya berubah.

Pendidikan, ekonomi, pasaran, keperluan set kemahiran, teknologi, permintaan industri... ini adalah hanya beberapa aspek kehidupan yang sentiasa berkembang. Permintaan dan keperluan hari ini akan berubah dalam masa lima tahun, dan mungkin berubah secara berlebihan 10 tahun dari sekarang.

Sebagai contoh, Warren Buffett, seorang lelaki pada pertengahan 80-an yang bernilai lebih AS$60 bilion, anda tentu akan berfikir dia akan berehat di beberapa pulau mewah yang beliau miliki dan menikmati zaman kegemilangannya. Kita boleh menganggap bahawa tidak ada sebab untuk dia terus belajar, kerana beliau sudah pun memiliki segala-galanya bukan?

Buffett, walaupun pada usia dan kekayaannya itu, terus menerus membaca berjam-jam setiap hari untuk memastikan beliau dilengkapi, dimaklumi dan dikemaskinikan dengan berita dunia, trend baru dan pembangunan, dan apa yang berlaku dalam perniagaannya.

Jika seseorang seperti Buffett percaya pembelajaran sepanjang hayat mempunyai nilai yang amat besar, siapalah kita untuk mempertikaikannya? Keinginan untuk terus belajar, untuk mencari idea dan konsep baru dan memikirkan bagaimana mereka boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah atau memenuhi keperluan, membantu menjaga fikiran kita aktif dan tajam.

Pembelajaran berterusan buka pelbagai peluang

Kita bukanlah terlalu sempurna, tidak ada masa dalam kehidupan kita yang lengkap dan tepat kerana sentiasa ada sesuatu yang baru untuk diterokai mengenai dunia di sekeliling kita. Mengembangkan pengetahuan dan kefahaman adalah sesuatu yang harus sentiasa dihargai, dan mempunyai pemikiran yang menjurus ke arah pembelajaran berterusan membuka pelbagai peluang.

Pembelajaran sepanjang hayat adalah sesuatu yang lebih daripada meningkatkan peluang ke- jayaan. Kebanyakan kita, mengetahui minat kita melalui penerokaan dan mempelajari bidang yang menarik. Ada juga yang memperoleh kejayaan seperti bulan jatuh ke riba.

Lebih banyak dan meluas kita belajar dan membaca, lebih ramai kita berurusan dan berkomunikasi di luar kelompok, dan lagi banyak kita membuka dan meluaskan minda kita, lagi lebih peluang kita akan peroleh dan mencari apa yang benar-benar merangsang kreativiti dan rasa ingin tahu kita. Pembelajaran membantu kita mengetahui apa yang menjadi kita bersemangat untuk melakukan sesuatu.

Apabila pembelajaran kita meningkat, kesedaran kita turut berkembang, oleh itu, kita mendapat pemahaman yang lebih mendalam dan menghargai kehidupan dan apa yang cuba kita dapatkan. Jika kita kekal dalam zon selesa yang kita cipta, kita mungkin menjadi leka atau berasa seolaholah nilai kita menjadi terbantut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.