MDEC

Sasar lahir 20,000 profesional data

Berita Harian - - BISNES -

Shahrizan Salian

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merancang untuk melahirkan 20,000 profesional data menjelang 2020, kata Ketua Kerjasama Strategiknya, N Somasundaram.

Beliau berkata, kini ada 6,000 profesional data yang terbabit di dalam pelbagai program berkaitan MDEC.

“Kami bekerjasama dengan penyedia latihan profesional dan universiti tempatan dalam memastikan penawaran profesional data yang cukup,” katanya pada sidang akhbar mengenai Minggu Data Besar 2017 yang akan diadakan awal bulan depan.

Somasundram berkata, usaha ini akan membantu Malaysia mencapai sasaran menjadi hab Data Besar dan Analisis (BDA) menjelang 2020.

Tingkat kesedaran awam

Sementara itu, kira-kira 3,000 pengunjung dijangka menghadiri Minggu Data Besar itu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 2 hingga 8 Oktober ini.

Antara lain ia akan memaparkan persidangan dan hackathon

serta beberapa aktiviti lain yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai BDA.

Dianjurkan Knowledge Group of Companies, Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan MDEC, acara itu akan memaparkan 60 pakar dan ketua saintis data global daripada organisasi terkemuka seperti Google, Facebook, Fusionex dan iflix berkongsi pengalaman dalam merubah data kepada wawasan yang berharga.

Pengarah Urusan Knowledge Group, N Selva, berkata kerjasama rapat antara pemain utama seperti HRDF, MDEC dan Fusionex sangat menggalakkan untuk pembangunan ekonomi data.

“Sokongan berterusan MDEC sebagai penganjur bersama bukti komitmen mereka sebagai penjaga inisiatif ekonomi data,” katanya.

[FOTO SADDAM YUSOFF/BH]

Somasundaram (kanan) bersama Pengarah Divisyen SME, Sashikala Devi Gopallan dan Selva melancarkan Minggu Data Besar Malaysia 2017 di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.