Tawan 6 puncak gunung dalam 9 hari

Berita Harian - - VARSITI -

Melaka: Kelab Rekreasi dan Sukan Ekstrem (KEREX), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), memahat sejarah tersendiri apabila berjaya menawan enam puncak gunung melalui ekspedisi selama sembilan hari, baru-baru ini.

Penaklukan itu bermula dengan puncak Gunung Shoid, Gunung Chamah, Gunung Ulu Sepat, Gunung Gerah, Gunung Bilah dan berakhir di Gunung Bieh.

Ketua ekspedisi, Nik Watikah Nik Hassan, berkata antara objektif utama program itu ialah menerokai flora dan fauna di pergunungan berkenaan.

Beliau berkata, ekspedisi itu cukup menguji ketahanan fizikal dan mental 20 peserta dalam mengharungi cabaran melengkapkan kitaran penuh menawan enam puncak gunung dalam tempoh terbabit.

Ikhtiar hidup

“Kami berjaya mengaplikasikan ilmu dan pengalaman ikhtiar hidup, selain menyelami pengalaman baharu seperti menghadapi ancaman binatang buas di dalam kawasan hutan serta pergunungan ini.

“Dengan corak muka bumi yang bergunung-ganang, trek meredah sungai dan cuaca tidak menentu, termasuk adakala hujan lebat, begitu mencabar tetapi semua itu berjaya dihadapi hasil gerak kerja serta semangat berpasukan,” katanya.

Ekspedisi itu turut diisi dengan pelaksanaan program tanggungjawab sosial komuniti yang menyaksikan peserta menghulur bantuan berupa barangan keperluan asas dan makanan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Pos Gob, Gua Musang, Kelantan.

Yang turut menyertai ekspedisi itu ialah pegawai pengiring dan pemantau dari Pusat Sukan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTEM, Nur Jannah Hasimi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.