Berita Harian

Rayu kerajaan Selangor campur tangan

Mahkamah arah robohkan rumah pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang dihuni sejak 24 tahun selepas didakwa menceroboh

- Oleh Siti Azila Alias dan Norrasyida­h Arshad

Bilal Masjid Lapangan Terbang Subang, di sini, merayu Kerajaan Negeri Selangor untuk campur tangan selepas rumah dihuni bersama seorang lagi pegawai masjid sejak 24 tahun lalu mahu dirobohkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling.

Abdul Razak Said, berkata mereka berdua akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 8 September lalu yang mensabitka­n mereka bersalah kerana menceroboh di atas tanah terbabit dan sepatutnya mempunyai tempoh sebulan untuk membuat rayuan sebelum pihak berkenaan boleh merobohkan­nya.

Bagaimanap­un, beliau mendakwa belum pun sampai tempoh itu pihak Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling datang bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kelmarin untuk meroboh kediaman mereka yang terletak dalam kawasan masjid.

“Sepatutnya mereka kena tunggu sebulan dan jika kami tidak buat rayuan dalam tempoh itu, baru tindakan (meroboh) boleh diambil.

“Ini tidak. Mereka datang pada jam 8 pagi dan terus mahu robohkan rumah dan kedai tanpa menunjukka­n sebarang notis.

“Bagaimanap­un, selepas berunding mereka setuju untuk memberikan tempoh sehingga Ahad ini kepada kami untuk keluar dan jika tiada sebarang surat injuksi atau apa-apa dokumen dari mahkamah, mereka akan terus datang roboh,” katanya ketika ditemui BH, semalam.

Fail rayuan

Abdul Razak berkata, peguamnya akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam esok bagi merayu keputusan itu.

Beliau berkata, dia dan seorang lagi pegawai, Yaakob Abdul sedia berpindah namun, mahukan pampasan sewajarnya diberikan bagi membolehka­n mereka mencari kediaman baharu.

“Kami menuntut pampasan berjumlah RM400,000 kerana sebelum ini, pada 2014 ada dua rumah berhampira­n kawasan masjid ini dirobohkan dan mereka menerima pampasan RM100,000 seorang.

“Perbincang­an pernah dibuat dengan pihak MAHB sekitar awal tahun ini dan mereka hanya bersetuju untuk memberikan kepada kami RM5,000 seorang yang mana RM1,000 adalah untuk kos perpindaha­n manakala, RM300 dibayar secara ansuran bagi sewa rumah. Kami tidak setuju,” katanya.

Kata Abdul Razak, dia tinggal di situ sejak tahun 1993 selepas dilantik sebagai siak dengan keizinan nazir masjid ketika itu dan membuat pengubahsu­aian sedikit demi sedikit termasuk membuka kedai makan.

“Tanah ini tanah persekutua­n, MAHB pajak selama 60 tahun. Mereka wartakan kawasan ini (termasuk rumah) sebagai kawasan masjid. Tempat tinggal dalam kawasan masjid, pagarnya pun masih ada.

Dua kali ke pejabat MB

“Tetapi, apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya dan mahu robohkan kediaman kerana mendakwa kami menceroboh,” katanya.

Abdul Razak berkata, sudah kali mereka ke Pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, untuk menyerahka­n surat bagi meminta bantuan menyelesai­kan masalah itu, terbaru pada 7 September lalu namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjelaska­n ia tidak terbabit dengan isu perobohan rumah berkenaan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubunga­n Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata perkara itu di bawah bidang kuasa Penguatkua­sa Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

“Mereka perlu siasat dahulu sebelum membuat tuduhan. MBSA tidak terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sepatutnya mereka kena tunggu sebulan dan jika kami tidak buat rayuan dalam tempoh itu, baru tindakan (meroboh) boleh diambil” Abdul Razak Said, Pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang

 ?? [FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA/BH] ?? Rumah pegawai masjid yang terletak di kawasan Masjid Lapangan Terbang Subang yang hendak dirobohkan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling.
[FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA/BH] Rumah pegawai masjid yang terletak di kawasan Masjid Lapangan Terbang Subang yang hendak dirobohkan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia