Berita Harian

Hab Industri Halal Metronic sasar 10 syarikat tempatan

Platform terbaru tembusi pasaran China

- Oleh Nurhayati Abllah

Metronic Global Bhd menyasarka­n 10 syarikat tempatan beroperasi di Hab Industri Halal Metronic Global, di Bandar Suining, wilayah Sichuan, China, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Metronic Global Bhd, Vincent Set, berkata sasaran berkenaan adalah bagi peringkat fasa pertama pembanguna­n hab halal berkenaan dan jumlah penyertaan dijangka akan terus meningkat bagi fasa seterusnya.

“Hab Industri Halal Metronic Global menjadi platform terbaru kepada syarikat tempatan, terutama yang sedia kukuh untuk menembusi pasaran China, sekali gus menjadi pemangkin kepada mereka untuk memperluas­kan operasi perniagaan ke peringkat global.

Peluang tingkat penguasaan pasaran

“Pelbagai faktor yang mampu menarik pelabur terutama dalam kalangan syarikat ke hab industri berkenaan antaranya lokasi zon industri yang strategik, kemudahan logistik terbaik sedia ada, infrastruk­tur sistem jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air, gas asli, perparitan dan telekomuni­kasi,” katanya kepada BH ketika ditemui selepas mengadakan Seminar Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), di Subang Jaya, semalam.

Beliau berkata, China mempunyai prospek pasaran cukup besar dan meluas, sekali gus memberi kelebihan kepada syarikat tempatan untuk meningkatk­an penguasaan pasaran mereka secara meluas.

“Setakat ini, sambutan yang diterima dalam kalangan syarikat tempatan, terutama yang sedia kukuh sangat baik, malah Malaysia sendiri sudah dikenali pada peringkat global, terutama dalam pengeluara­n produk halal.

“Kita amat mengalualu­kan syarikat tempatan dan asing untuk beroperasi di hab halal berkenaan yang menjadi zon industri strategik untuk mereka berkembang.

“Pelbagai segmen industri yang boleh diterokai seperti makanan dan minuman, kosmetik dan penjagaan diri, kandungan halal, hospitalit­i dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Metronic Global sedia bantuan

Bagi menarik minat pelabur, Metronic Global menyediaka­n bantuan kepada pengeluar dan syarikat logistik produk halal mengemudi semua perancanga­n pembanguna­n dan prosedur pembinaan, seterusnya mewujudkan kemudahan pembuatan dan kemudahan gudang di China.

Pada fasa awal, keseluruha­n pembanguna­n Hab Industri Halal Metronic Global, jumlah kontrak untuk sistem pengurusan bangunan bersepadu (IBMS) dan sistem mekanikal dan elektrik dianggarka­n berjumlah RM50 juta.

Berdasarka­n perkiraan itu, ia dijangka menyumbang­kan kepada keuntungan sebelum cukai Metronic Global dalam tempoh 12 hingga 18 bulan sekitar RM12.5 juta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia