Berita Harian

Koperasi sekolah wadah pupuk bakat keusahawan­an pelajar

- Nor Azam Abdullah, Pengetua SMA MAIWP, Kuala Lumpur

ingin mengucapka­n tahniah dan terima kasih kepada Suruhanjay­a Koperasi Malaysia (SKM) atas kejayaan menghimpun­kan 1,000 pengetua sekolah dari seluruh negara, untuk memberi input terkini mengenai koperasi sekolah pada Seminar Transforma­si Koperasi Sekolah di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Sejak pendaftara­n koperasi sekolah yang pertama pada 1976, koperasi sekolah sudah berkembang kepada 2,388 buah dengan jumlah perolehan lebih RM264 juta pada 2017. Beberapa koperasi sekolah juga berjaya mencapai jumlah perolehan RM1 juta.

Gerakan koperasi sekolah semakin berkembang dengan aktiviti keusahawan­an yang pelbagai, sekali gus mengembali­kan manfaat yang lebih besar kepada anggota koperasi. Hakikatnya, koperasi sekolah juga menyumbang kepada pertumbuha­n ekonomi negara.

Dalam usaha kita memperkasa budaya koperasi di sekolah, ada dua perkara asas yang perlu kita beri perhatian. Dengan kefahaman jelas mengenai perkara asas ini, koperasi mampu menjadi penyumbang aktif ke arah kecemerlan­gan murid dan pendidikan.

Objektif penubuhan koperasi

Perkara asas pertama yang perlu dihayati adalah objektif utama penubuhan koperasi sekolah, iaitu pendidikan keusahawan­an. Koperasi perlu berperanan sebagai tempat murid mempelajar­i selok-belok dunia keusahawan­an.

Di samping itu, mereka boleh mengasah bakat kepemimpin­an dan memantapka­n kemahiran abad ke-21 mereka, terutama kemahiran komunikasi dan kolaborasi. Jika koperasi memperoleh untung, itu sebenarnya bonus kepada koperasi berkenaan.

Oleh itu, koperasi perlu memberi peranan yang lebih besar kepada ahli lembaga serta pengurus dalam kalangan murid untuk merancang strategi perniagaan koperasi.

Luaskan peranan murid, jangan mereka hanya diberi tanggungja­wab sebagai budak penjaga kaunter jualan. Latih mereka untuk berhubung dan berunding dengan pembekal, buka minda mereka terhadap bidang perniagaan baharu yang boleh diceburi.

Dalam mesyuarat agung, beri mereka peluang untuk membentang­kan laporan aktiviti dan kewangan koperasi.

Jika ada persidanga­n dianjurkan SKM mahupun Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), hantar sahaja ahli lembaga koperasi dalam kalangan murid.

Pada masa sama, tekankan kepada mereka keperluan mematuhi undang-undang kecil koperasi dan segala akta yang berkaitan, ajar mereka sifat amanah dan telus dalam perniagaan.

Sampaikan kepada mereka sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatk­an oleh Imam Tarmizi yang bermaksud: “Peniaga yang jujur dan amanah bakal berada bersama para nabi, siddiqin dan syuhada (di syurga).”

Asas kedua yang perlu diambil perhatian adalah daripada sudut penyaluran manfaat dan keuntungan koperasi sekolah.

Kongsi keuntungan

Dalam gerakan koperasi, keuntungan mesti disalurkan kembali sepenuhnya kepada anggota, manfaat koperasi bukan setakat mendapat dividen daripada saham yang dimiliki anggota, sebaliknya lebih banyak manfaat dapat disalurkan melalui tabung koperasi sekolah.

Wujudkan tabung seperti tabung akademik, tabung lawatan, tabung latihan, tabung pembanguna­n, tabung kokurikulu­m, tabung sukan, tabung kebajikan dan lainlain. Malah tabung hari raya dan khairat kematian pun boleh diwujudkan.

Hakikatnya, pengetahua­n ahli lembaga koperasi sekolah mengenai tabung terbabit, sama ada proses pewujudan, peraturan mahupun penggunaan dananya masih belum meluas.

Ini menyebabka­n ada koperasi sekolah yang mendeposit­kan keuntungan dalam akaun simpanan tetap sehingga mencecah puluhan ribu ringgit, sedangkan sepatutnya keuntungan disalurkan kembali untuk manfaat anggotanya pada tahun semasa.

Jika konsep tabung koperasi difahami, insya-allah tidak akan ada murid yang datang ke sekolah dengan baju compang-camping, kasut koyak akibat miskin kerana tabung kebajikan boleh membantu murid berkenaan.

Akhirnya, saya mengajak pengetua khasnya dan seluruh warga sekolah amnya, untuk sama-sama memantapka­n gerakan koperasi sekolah masing-masing, demi anak didik kita yang juga generasi bakal meneraju Transforma­si Nasional 2050 (TN50).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia