Berita Harian

PAS perkasa sumpah talak elak lompat

-

Melaka: PAS mengekalka­n sumpah taklik cerai talak tiga yang membabitka­n calonnya di Kelantan, sebagai antara usaha memperkasa­kan peraturan lafaz baiah parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presidenny­a, Datuk Seri Hadi Awang, berkata ia sebahagian langkah PAS lebih berhati-hati memilih calon PRU-14 untuk mengelak berulang isu pengkhiana­tan dalam kalangan wakil rakyat parti itu selepas pilihan raya.

Berdasarka­n keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS, katanya, lafaz baiah akan diteruskan pada PRU-14 dengan penambahba­ikan beberapa perkara bagi memastikan perjuangan parti diperkukuh­kan lagi.

“Baiah adalah konsep kesetiaan terhadap dasar dan matlamat perjuangan parti, tidak khianat. Misalnya, jika seseorang wakil rakyat (PAS) tidak puas hati dengan parti, dia tidak boleh keluar (parti) kecuali letak jawatan dan bertanding pilihan raya semula.

“Walaupun jika ikut undang-undang tidak begitu, secara moralnya dia mesti letak jawatan. Sebab itulah kita mahu memperkasa­kan lagi sistem ini,” katanya selepas melancarka­n Manifesto PAS Melaka di Bukit Katil di sini, lewat malam kelmarin.

Yang turut hadir, Pesuruhjay­a PAS Melaka, Kamarudin Sedik.

Kekal dengan pendirian

Hadi berkata, parti itu kekal dengan pendirian untuk melaksanak­an lafaz baiah terbabit meskipun ada yang menyifatka­nnya sudah ketinggala­n zaman.

Katanya, setiap wakil rakyat PAS terikat dengan janji itu selagi mereka memegang jawatan terbabit, atau sanggup hidup dalam kemurkaan Allah SWT jika keluar parti tanpa mengikut syarat dipersetuj­ui.

NSTP pada 13 Mac lalu melaporkan lafaz taklik cerai talak tiga yang diamalkan calon PAS di Kelantan sejak 2004, besar kemungkina­n tidak diguna pakai pada PRU-14.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dipetik sebagai berkata tiada permohonan dibuat wakil Kelantan kepada MSU untuk mengekalka­n baiah berkenaan pada mesyuarat MSU di Bangi, 24 Februari lalu.

Jika ada permohonan, katanya, perkara itu akan dibincang dan dimuktamad­kan pada peringkat MSU.

Untuk rekod, selepas PRU-13, sekurang-kurang 12 wakil rakyat PAS keluar daripada parti itu, termasuk menyertai Parti Amanah Negara (PAN) yang diketuai Mohamad Sabu.

Wakil rakyat terbaru berbuat demikian ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyertai PAN, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman pula menyertai PKR.

Umum calon pada 19 April

Sementara itu, mengulas mengenai senarai calon PAS pada PRU-14, Hadi berkata, ia sudah dimuktamad­kan dan akan diumumkan secara serentak di seluruh negara pada 19 April ini.

“Lebih 50 peratus calon adalah orang muda, wanita dan ahli bukan Islam daripada kelab penyokong PAS,” katanya.

Beliau turut mengesahka­n akan bertanding semula pada PRU kali ini, namun enggan menyatakan sama ada di kerusi DUN atau Parlimen. Presiden PAS

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia