Berita Harian

3 beradik rebut kerusi DUN Tambunan

PRU-14 bakal saksikan pertembung­an keluarga babit tiga parti berlainan

- Oleh Fardy Bungga

Saingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan berkemungk­inan menyaksika­n pertembung­an tiga beradik daripada tiga parti berbeza dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pertembung­an itu membabitka­n Tan Sri Joseph Pairin Kitingan daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mewakili Barisan Nasional (BN); Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan seorang lagi adik mereka, Crispin Kitingan yang dikhabarka­n bakal mewakili Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Pertembung­an adik-beradik itu pernah berlaku pada PRU-13 tetapi hanya membabitka­n Pairin dan Jeffrey bagi kerusi Parlimen Keningau yang dimenangi Pairin.

Spekulasi pertembung­an keluarga itu kembali hangat berikutan kenyataan terbaru Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Presiden PBS yang beliau mungkin kekal bertanding sekiranya dikehendak­i pucuk pimpinan dan rakyat, walaupun sebelum ini menyatakan hasrat untuk bersara.

Jeffrey ketika dihubungi, mengesahka­n akan bertanding di kerusi Parlimen Keningau dan DUN Tambunan tidak kira siapa calon yang bakal menjadi lawannya, termasuk abangnya yang mewakili BN.

“Apa yang penting ketika ini adalah perjuangan untuk menuntut hak Sabah. Soal mengenai siapa lawan tidak menjadi masalah.

“Pairin sebelum ini menyatakan mahu bersara, tetapi jika beliau kekal bertanding (DUN Tambunan dan Parlimen Keningau), tidak akan mengubah pendirian saya bertanding di dua kerusi berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Pairin yang menjadi wakil rakyat sejak 1976 dilaporkan berkata, walaupun keputusan bersara sudah dibuat, beliau tidak menolak kemungkina­n untuk terus berkhidmat jika diperlukan.

Pairin berkata, keputusan muktamad sama ada menawarkan diri untuk mempertaha­nkan kerusi atau meneruskan hasrat persaraan, hanya akan diketahui pada hari penamaan calon, namun setakat ini beliau kekal dengan pendirian bersara.

Sementara itu, Crispin menyatakan secara peribadi beliau tidak berminat menjadi calon, namun bersedia jika itu ‘dimahukan’ oleh pucuk pimpinan WARISAN.

Perjuangan politik demi kepentinga­n rakyat

“Secara peribadi, saya menghormat­i dan sayangkan kedua-dua abang saya, namun perjuangan politik bukan untuk keluarga atau individu sebaliknya demi kepentinga­n rakyat.

“Sekiranya diarah untuk menjadi calon, saya akur kepada keputusan pucuk pimpinan dan sedia menentang kedua-dua abang saya sekiranya mereka turut bertanding di DUN Tambunan,” katanya sambil menambah mereka ‘berlawan’ sesama sendiri bukan secara peribadi, sebaliknya atas dasar perbezaan fahaman politik.

Selain Tambunan iaitu antara tiga DUN di Parlimen Keningau, Pairin dan Jeffrey kemungkina­n turut bertembung bagi kerusi Parlimen.

Pada PRU-13, Pairin yang kali pertama bertembung dengan Jeffrey dalam pilihan raya, menang dengan majoriti 4,264 undi dalam saingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Keningau bersama seorang lagi calon daripada PKR.

 ??  ?? Joseph Pairin Kitingan
Joseph Pairin Kitingan
 ??  ?? Jeffrey Kitingan
Jeffrey Kitingan
 ??  ?? Crispin Kitingan
Crispin Kitingan
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia