Gadis terlantar sakit ceria jumpa MB

Berita Harian - - ISU -

Kuala Pilah: “Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga hasrat Nurul untuk jumpa Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan),” kata Dayang Lohani Awang Zain, 51, di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, semalam.

Beliau gembira hasrat anaknya, Siti Nurul Hidayah Mohamad Sofi, 20, yang lumpuh seluruh badan dan terlantar selama 14 tahun di hospital itu bertemu Menteri Besar Negeri Sembilan menjadi kenyataan.

Hasrat jadi viral

Mohamad singgah menziarahi Siti Nurul Hidayah di HTAN, ketika dalam perjalanan pulang dari satu majlis di Jempol dekat sini, petang semalam, apabila menyedari rakaman video mengenai hasrat gadis itu menjadi viral di laman sosial sejak kelmarin.

Dayang Lohani berkata, anaknya amat mengagumi Mohamad kerana kerap melihatnya di televisyen dan pelbagai media lain termasuk Youtube dan aplikasi Whatsapp.

“Saya kerap menunjukkannya klip video ucapan atau ceramah beberapa tokoh termasuk Tok Mat.

Hanya mampu gerak bibir

“Baru-baru ini, ketika beberapa individu datang melawatnya, dia yang hanya mampu menggerakkan bibir untuk berkomunikasi memberitahu mereka dia teringin berjumpa dengan Tok Mat.

“Tak sangka rakaman video itu menjadi viral dan mendapat perhatian Menteri Besar sendiri,” katanya sambil memberitahu Mohamad pernah melawat anaknya di HTAN lapan tahun lalu.

Mohamad meluangkan masa selama 15 minit beramah mesra dengan Siti Nurul Hidayah serta ibunya.

Harian Metro pada 2015 pernah melaporkan Siti Nurul Hidayah terlantar di HTAN akibat penyakit Cervical Cord Myelopathy iaitu kerosakan saraf tunjang dan pengecutan paru-paru selepas terjatuh di bilik air ketika berusia enam tahun.

[FOTO HAZREEN MOHAMAD/BH]

Mohamad melawat Siti Nurul Hidayah dan Dayang Lohani di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.