Rantau Asia Tenggara perlu bekerjasama perangi keganasan
DSA, NATSEC 2018 platform tepat negara serantau bincang usaha tangani ancaman pengganas
Rantau Asia Tenggara kini berdepan dengan isu kegiatan keganasan paling serius yang memerlukan setiap negara anggotanya bekerjasama lebih erat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ia adalah isu yang tidak boleh dielakkan di Malaysia serta negara rantau Asia Tenggara lain yang mana keadaan itu tidak berlaku sebelum ini.
“Dulu, isu pengganas memang tidak berlaku di rantau ini, tetapi kini ia menjadi antara masalah keselamatan terbesar setiap negara termasuklah Malaysia.
“Contoh paling dekat apabila kegiatan keganasan oleh pengganas seperti IS (Negara Islam) dan Daesh ini dapat dilihat seperti yang berlaku di Marawi, selain serangan di Jakarta, sebelum ini,” katanya kepada media ketika melawat ke ruang Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 serta penganjur Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.
Hishammuddin berkata isu keganasan adalah fokus utama penganjuran DSA dan NATSEC 2018 selain keperluan terhadap soal keselamatan rantau Asia Tenggara.
Perlu kerjasama semua negara
“Perang terhadap keganasan ini tidak boleh dilakukan secara sendirian, sebaliknya ia memerlukan kerjasama semua negara.
“Hanya dengan kerjasama semua negara, barulah kita boleh menamatkan sebarang ancaman yang berlaku pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata kegiatan pengganas jika tidak dibanteras di peringkat permulaan, boleh mencetuskan gerakan yang lebih besar.
“Jadi, saya melihat penganjuran DSA dan NATSEC 2018 ini sebagai platform tepat untuk berbincang serta mencari jalan untuk membasminya.
“Malah, persidangan dan pameran ini membolehkan negara yang menyertai dapat melihat serta meninjau kelengkapan persenjataan diperlukan selain berkongsi kepakaran dan pandangan mengenai pertahanan,” katanya.
Dalam sesi lawatan itu, Hishammuddin meluangkan masa hampir dua jam melawat ruang pameran DSA dan NATSEC 2018.
Malah, beliau turut dihadiahkan sebilah replika pedang Ottoman kurun ke-13 dikenali sebagai ‘Yatagan Sword’ daripada wakil pempamer dari Turki, FNSS Defence System, sebagai simbolik tanda penghormatan terhadap kerajaan Malaysia sebagai penganjur DSA 2018 serta penganjur NATSEC 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Perang terhadap keganasan ini tidak boleh dilakukan secara sendirian, sebaliknya ia memerlukan kerjasama semua negara. Hanya dengan kerjasama semua negara, barulah kita boleh menamatkan sebarang ancaman yang berlaku pada masa kini” Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan