Berita Harian

‘Dr M tak berani kembali ke Kubang Pasu’

Tindakan bekas PM pilih tanding di Parlimen Langkawi dipersoal

- Oleh Suzalina Halid

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak bertanding di Parlimen Kubang Pasu, kawasan yang pernah diwakiliny­a 30 tahun lalu sebelum bersara dipersoalk­an.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, tindakan Dr Mahathir itu menunjukka­n ada sesuatu yang tidak kena dengan pembangkan­g sehingga bekas Perdana Menteri itu terpaksa bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Perhubunga­n UMNO Kedah berkata, malah, Dr Mahathir juga seolah-olah tidak menghargai pengundi di Kubang Pasu yang pernah mengangkat­nya menjadi pemimpin suatu ketika dahulu apabila membuat keputusan bertanding di Langkawi.

Tindakan jadi tanda tanya

“Walaupun beliau jadi Ahli Parlimen Kubang Pasu begitu lama mengapa tak berani kembali ke kawasan itu? Saya pun tak tahu sebab apa, tetapi sepatutnya kalau dia yakin dan berani, bertanding­lah semula di sana.

“Maka tindakan itu menjadi tanda tanya, pasti ada sesuatu yang menyebabka­n Dr Mahathir terpaksa bertanding di Langkawi sedangkan selama ini beliau jadi pemimpin disebabkan undi dari Kubang Pasu.

“Sepatutnya beliau kena mengenang jasa pengundi di Kubang Pasu dan teruskan di situ kerana itulah elemen nostalgia yang perlu beliau ambil kira,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Semarak Perpaduan Zon Utara, di sini.

Bukti tak yakin menang

Selain Dr Mahathir yang bertanding di Langkawi, anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bakal bertanding di Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra manakala bekas Ketua Pembangkan­g DUN Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah bertanding di Parlimen Kubang Pasu dan DUN Anak Bukit.

Mengulas mengenai dua pemimpin pembangkan­g yang masingmasi­ng bertanding di dua kerusi, Ahmad Bashah berkata, ia membuktika­n mereka tidak yakin untuk menang di satu kawasan sehingga terpaksa mengambil ‘polisi insurans’.

Malah, katanya Mukhriz sendiri sepatutnya mempertaha­nkan DUN Ayer Hitam kerana sudah memenangi kawasan itu sebelum ini dan bukannya berpindah ke kerusi lain.

“Depa (mereka) ini ingat hebat sangatkah sampai bertanding dua kerusi, bagilah peluang orang lain atau depa ketandusan pemimpin, sepatutnya ambil satu saja kerusi, mungkin depa takut kalah satu, ada satu lagi sebagai ‘insurans’,” katanya.

 ?? [FOTO SHARUL HAFIZ ZAM/BH] ?? Ahmad Bashah bersama pelajar cemerlang Daerah Kota Setar yang menerima sumbangan pada Majlis Perasmian Seminar Semarak Perpaduan Zon Utara Negeri Kedah di Alor Setar, semalam.
[FOTO SHARUL HAFIZ ZAM/BH] Ahmad Bashah bersama pelajar cemerlang Daerah Kota Setar yang menerima sumbangan pada Majlis Perasmian Seminar Semarak Perpaduan Zon Utara Negeri Kedah di Alor Setar, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia