PAS sahkan tanding lebih 150 kerusi Parlimen

Berita Harian - - ISU -

Kota Bharu: PAS mengesahkan akan bertanding melebihi 150 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata keputusan muktamad itu dibuat selepas parti itu mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Harian di Pulau Pinang, kelmarin.

“Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dihadiri semua 12 orang ahlinya, kami membuat keputusan untuk meletakkan calon di lebih 150 kerusi Parlimen seluruh negara, di samping sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mengenai senarai calon, Takiyuddin berkata, senarai itu sudah hampir 95 peratus muktamad, termasuk di kerusi Parlimen dan kerusi DUN di Sabah dan Sarawak.

Isytihar calon

“Kecuali di Kelantan, Sabah dan Sarawak, majlis pengisytiharan calon Setiausaha Agung PAS PAS akan di adakan serentak di seluruh negara pada 19 April,” katanya.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak akan membuat pengisytiharan calon pada 21 April, manakala Kelantan pada 25 April.

Terima Kamilia

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata PAS dan rakannya dalam Gagasan Sejahtera berhasrat untuk bertanding antara 130 dan 150 kerusi Parlimen pada PRU-14.

Daripada jumlah itu, katanya PAS menyasarkan untuk menang 112 kerusi Parlimen.

Sementara itu, Takiyuddin berkata Jawatankuasa Harian PAS itu juga menerima keahlian PAS daripada bekas Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim sebagai ahli PAS seumur hidup.

Kamilia sebelum ini bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada 2013 dan tindakan itu menyebabkan beliau secara automatik dipecat daripada UMNO.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.