Semakan pusat mengundi dalam talian lebih mudah, cepat

Langkah SPR bantu pemilih berdaftar buat semakan

Berita Harian - - ISU - Oleh Nursyahirah Marzuki

“Ini adalah kali pertama saya membuat semakan pusat mengundi secara dalam talian (online) dan ternyata ia lebih mudah dan cepat,” kata Nur Fazreena Razali.

Nur Fazreeena, 28, berkata beliau hanya perlu memasukkan nombor Mykad dan tidak sampai beberapa saat, semua maklumat mengenai lokasi mengundi dipaparkan.

“Semua maklumat terperinci tersedia dalam sistem berkenaan termasuk lokasi, saluran serta masa mengundi dan saya hanya perlu mengambil gambar salinan skrin sebagai rujukan pada hari mengundi kelak.

Tak perlu tunggu surat

“Tidak perlu lagi hadir ke manamana pejabat atau menunggu surat yang dihantar ke rumah bagi Pemilih berdaftar mendapatkan maklumat mengenai pusat mengundi masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Atikha Shobri, 26, berkata semakan secara dalam talian juga memudahkannya untuk melihat semula lokasi mengundi terutama selepas persempadanan semula yang ada perubahan nama kawasan Parlimen dan DUN.

“Semakan dalam talian amat membantu supaya saya tidak tercari-cari di mana hendak membuang undi pada 9 Mei ini dan kita boleh merancang perjalanan ke tempat mengundi,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya, memaklumkan semua pemilih berdaftar boleh membuat semakan mengenai maklumat lengkap termasuk tempat mengundi terkini bermula semalam (16 April).

Semakan melalui pelbagai aplikasi

Semakan itu boleh dibuat menerusi pelbagai saluran antaranya aplikasi mudah alih MYSPR Semak yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store secara percuma.

Malah, pemilih berdaftar juga boleh membuat semakan bermula semalam (16 April) melalui pautan pengundi.spr.gov.my atau menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu menghantar mesej ke talian 15888 dengan menaip SPR <jarak> nombor kad pengenalan.

Selain itu, pemilih berdaftar juga boleh melakukan semakan dengan menghubungi talian 0388927018 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri.

Tarikh pengundian PRU14 ditetapkan pada 9 Mei, manakala penamaan calon pada 28 April ini dan pengundian awal pada 5 Mei.

Kerajaan juga mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena PRU14 bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.