Berita Harian

Nampak laluan turun bukit selepas dua kali azan

-

Gombak: “Dua kali kami melaungkan azan sebelum nampak laluan untuk turun kerana keadaan gelap serta licin,” kata Mohd Izzwan Wahid, seorang daripada 20 lelaki yang tersesat ketika mendaki bukit Batu Caves di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, kumpulan penduduk kampung berhampira­n kawasan itu mendaki bukit berkenaan untuk memasang bendera sebuah parti politik di puncaknya, tetapi tidak dapat turun.

Mohd Izzwan, 22, berkata mereka yang diketuai seorang warga emas berusia 70 tahun, mendaki bukit berkenaan mulai jam 9.30 pagi, sebelum tiba di puncak kirakira jam 5 petang.

“Sebaik tiba di puncak, kami mula memasang bendera hingga selesai kira-kira jam 7 malam. Namun, ketika menuruni bukit, hujan lebat menyebabka­n laluan licin dan hari sudah gelap.

“Tambah memburukka­n keadaan apabila lampu suluh yang dibawa kehabisan bateri, menyebabka­n kami terpaksa bergerak secara perlahan dalam kegelapan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gombak Indah di sini, semalam.

Tidak nampak laluan turun

Mohd Izzwan yang juga seorang peniaga berkata, kesukaran mengenal pasti laluan untuk menuruni bukit itu menyebabka­n seorang rakannya melaungkan azan.

“Rakan saya, Mohd Ashraf, 24, melaungkan azan dua kali ketika kami terpaksa berhenti. Sebaik azan dilaungkan, kami boleh melihat laluan turun dengan jelas, namun tidak mampu menuruni bukit kerana ada yang sudah lemah dan kehabisan tenaga, sebelum kami menghubung­i bomba,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang perjalanan menuruni bukit, mereka terpaksa memapah warga emas yang juga ketua kumpulan terbabit kerana terjatuh beberapa kali akibat laluan licin.

“Seorang rakan cedera di kaki dan paha kanan ketika menahannya daripada terjatuh.

“Kami sering mendaki bukit terbabit, namun ini adalah kali pertama berdepan situasi mencabar itu,” katanya.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.01 malam.

Katanya, seramai 14 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kami turut mendapatka­n bantuan dari BBP Kepong dan Gombak bagi membantu membawa turun 20 mangsa yang berusia antara 20 hingga 70 tahun.

“Mereka semua berjaya dibawa turun jam 12.30 tengah malam tadi. Ketika dibawa turun, mereka dalam keadaan lemah kerana kehilangan tenaga,” katanya.

 ??  ?? 20 lelaki yang tersesat ketika mendaki bukit Batu Caves di Gombak, malam kelmarin, diberi bantuan selepas diselamatk­an.
20 lelaki yang tersesat ketika mendaki bukit Batu Caves di Gombak, malam kelmarin, diberi bantuan selepas diselamatk­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia