Kastam sasar 300 syarikat daftar MYGCAP

Program pupuk pematuhan sukarela, tawar pelbagai manfaat

Berita Harian - - DASAR & PENTADBIRAN - Oleh Mohd Sabran Md Sani

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menyasarkan 300 syarikat besar berdaftar, menerusi Program Jaminan Pematuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Malaysia atau MYGCAP, tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam, berkata sasaran itu membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat tersenarai awam dan syarikat yang memperoleh pendapatan tahunan RM100 juta.

Katanya, program MYGCAP bertujuan memupuk pematuhan sukarela dan dibuka kepada syarikat tersenarai awam di bursa, GLC dan syarikat mempunyai peroleh tahunan lebih RM100 juta setahun.

Khidmat MYGCAP Reviewers

Beliau berkata, syarikat berkenaan juga boleh mendapatkan khidmat MYGCAP Reviewers yang diiktiraf Kastam bagi mendapatkan status pemegang MYGCAP.

“Inisiatif MYGCAP juga bertujuan menggalakkan orang berdaftar GST dengan secara sukarela, mengurus risiko GST, serta memperbaiki pematuhan melalui rangka kerja kawalan berkesan.

“Syarikat yang memegang status MYGCAP akan memperoleh manfaat seperti bayaran pulangan balik GST dalam tempoh singkat, pembaharuan skim khas tanpa verifikasi, tiada pengauditan GST selama empat tahun dan ketetapan GST dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perasmian Mesyuarat Pengarah-pengarah Kastam Semalaysia Ke-84 di sini, semalam, yang disempurnakan wakil rasmi Menteri Besar, A Rahim Nin yang juga Pegawai Kewangan Johor.

Lancar e-pembayaran

Beliau turut melancarkan e-pembayaran iaitu kaedah pembayaran duti kastam, GST atau levi secara elektronik tanpa menggunakan mod tunai dan cek.

Sementara itu, Subromaniam berkata, Kastam akan melaksanakan latihan bersama tiga badan profesional akauntan bagi menganjurkan kursus khas kepada golongan akauntan sebelum mengiktiraf mereka sebagai penilai bebas GST.

Katanya, tiga badan profesional itu ialah Institut Akauntan Malaysia (MIA), Institut Percukaian Bertauliah Malaysia (CTIM) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA).

[FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM/BH]

A Rahim (tiga dari kanan) diiringi Subromaniam (tiga dari kiri) menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Pengarah-pengarah Kastam Semalaysia Ke-84 di Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.