Pelabur asing terus beli saham tempatan

Berita Harian - - BISNES -

Pelabur asing terus membeli saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia, dengan pembelian berjumlah RM324.7 juta minggu lalu, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, ia kali kelapan pada tahun ini paras pembelian pelabur asing melebihi RM300 juta.

Pelabur global membuat permulaan kukuh pada minggu lalu apabila mereka membeli sejumlah bersih RM188.3 juta saham tempatan pada Isnin.

Ia juga jumlah harian terbesar yang dibeli sepanjang minggu lalu, sejajar dengan kenaikan 12.7 mata di FBM KLCI apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghantar tweet bagi menzahirkan keyakinannya terhadap hubungan As-china yang meredakan kebimbangan mengenai perang perdagangan.

Aliran masuk modal sedikit perlahan

Aliran masuk modal asing sedikit perlahan pada hari berikutnya berjumlah RM131 juta.

Rabu pula menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM27.4 juta, di tengahtengah meningkatnya ketegangan terhadap Syria, yang membayangi berikutan jumlah dagangan di Bursa Malaysia melepasi empat bilion saham susulan pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada hari sebelumnya.

Pelabur asing kemudiannya kembali ke Bursa Malaysia pada Khamis dan Jumaat, namun pada paras yang lebih rendah masing-masing sebanyak RM17.5 juta dan RM15.3 juta.

MIDF berkata, Malaysia dan Korea adalah pasaran saham serantau yang merekodkan aliran masuk modal asing pada Khamis dan Jumaat.

Berdasarkan jumlah setakat tahun ini, pelabur asing setakat ini sudah membuat pembelian bersih RM2.85 bilion saham di Bursa Malaysia.

“Dalam masa sama, pelabur asing muncul pembeli bersih 12 daripada 15 minggu pada 2018, berbanding 13 minggu sepanjang tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Ia berkata, penyertaan pelabur dan runcit kekal teguh ketika kedua-dua nilai purata dagangan harian (ADTV) mencecah paras lebih RM1 bilion minggu lalu.

Tenaga Nasional Bhd mencatatkan aliran masuk bersih tertinggi sebanyak RM15.66 juta minggu lalu, diikuti oleh Public Bank Bhd (RM12.05 juta) dan CIMB Group Bhd (RM10.44 juta).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.