Jualan singkat intrahari tingkat kecairan pasaran

Berita Harian - - BISNES -

Bursa Malaysia Bhd melaksanakan jualan singkat intrahari (IDSS) untuk semua pelabur semalam sebagai sebahagian strateginya bagi meningkatkan kecairan pasaran.

Ia susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 6 Februari lalu di Simposium Pasaran Modal Dunia 2018 sebagai langkah untuk merancakkan dan merangsang aktiviti dagangan di pasaran saham tempatan.

Pengendali bursa saham tempatan itu melaksanakan rangka kerja jelas untuk memudahkan dagangan IDSS untuk semua pelabur.

Di bawah rangka kerja itu, pelabur boleh menjual sekuriti pada mulanya dan membelinya kemudian dalam hari daganganyangsama.

IDSS boleh dilakukan dalam senarai terpilih sekuriti yang layak, yang mana ketika ini membabitkan 280 sekuriti dan ia boleh disemak semula setiap enam bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan, berkata pengenalan IDSS kepada kumpulan pelabur yang meluas adalah tepat pada masanya dengan mengambil kira peningkatan peserta pasaran yang sofistikated.

Bina pasaran modal dinamik

Langkah itu, katanya, adalah sebahagian strategi Bursa Malaysia untuk meningkatkan kecairan pasaran dan mempertingkatkan fleksibiliti bagi peserta pasaran untuk memperbaiki strategi dagangan dan pengurusan risiko mereka.

“Bursa Malaysia akan terus melaksanakan inisiatif bagi menyediakan rangka kerja pasaran yang lebih cekap dan memudahkan, dan pengenalan IDSS adalah untuk memajukan lagi usaha bursa untuk membina pasaran modal dinamik dan rancak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Keperluan pematuhan dan perlindungan yang mantap juga dilaksanakan untuk membolehkan perdagangan IDSS dilaksanakan.

Ia termasuk kawalan pasaran untuk penggantungan IDSS jika harga saham jatuh lebih 15 peratus daripada harga penutupan hari sebelumnya atau jika jumlah jualan singkat kasar melebihi had maksimum harian sebanyak tiga peratus daripada jumlah saham tertunggak untuk setiap sekuriti.

Rangka kerja itu juga menentukan keperluan kewajipan pematuhan bagi pelabur sebelum aktiviti IDSS dapat dimulakan.

Bagi membolehkan pelabur menjalankan IDSS, Bursa Malaysia telah meminda Peraturan Bursa Sekuriti, Arahan dan Manual Dagangan Organisasi Peserta.

Pindaan peraturan sudah diluluskan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Tajuddin Atan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.