Nur Athirah pasang impian terbit koleksi sajak sendiri

Nur Athirah pasang impian terbitkan buku koleksi sajak karya sendiri

Berita Harian - - MINDA - Oleh Maria Uffa Zulkafeli

l

Personaliti minggu ini yakin mesej sesebuah sajak itu mungkin tidak sampai jika pendeklamasinya gagal menghayati setiap bait-bait puisi yang dipersembahkan kepada penonton.

Berpegang kepada prinsip itu, Nur Athirah Shamsul Arif, 15, perlu memahami setiap sajak yang dipilih untuk disampaikan dengan gaya dan intonasi yang boleh menarik per- hatian penonton supaya dapat bersama-sama merasai sajak berkenaan.

Ikuti temu bual wartawan BH Minda bersama dengan pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya, di sini, yang meminati deklamasi sajak sejak melangkah masuk ke sekolah menengah, tiga tahun lalu.

Boleh kongsikan bagaimana anda mula meminati bidang puisi?

Minat terhadap sajak mula timbul apabila saya cuba mendeklamasikan sajak yang dipetik daripada buku Komponen Sastera (KOMSAS) ketika berada di Tingkatan Satu. Bermula dari situ, saya mula menyukai sajak dan menyertai pertandingan deklamasi sajak peringkat daerah ketika di Tingkatan Dua. Selain guru-guru yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepada saya, keluarga juga menjadi antara tulang belakang yang banyak membantu saya dalam menghayati pembacaan sajak. Mengenai penjiwaan dalam setiap sajak yang hendak dideklamasikan, saya sering menonton video pendeklamasi sajak di media sosial.

Apakah manfaat yang anda peroleh daripada pembabitan berkenaan?

Bagi saya, terbabit secara aktif dalam bidang ini bukan sahaja menjadikan diri kita lebih kreatif hasil daripada mengarang sajak, sebaliknya proses penyampaian sajak boleh diibaratkan seperti berdakwah kerana kebanyakan sajak yang disampaikan bertujuan menyedarkan masyarakat mengenai sesuatu perkara. Sebagai contoh, saya pernah menyampaikan sajak bertajuk Neraka Dunia yang mengisahkan seorang bekas penagih dadah yang insaf terhadap perbuatan masa lampaunya. Paling penting, pembabitan dalam bidang ini dapat meningkatkan tahap keyakinan diri kerana penyampaian sajak melatih diri berhadapan orang ramai dengan penuh yakin.

Siapa idola anda dalam bidang puisi dan mengapa?

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menjadi idola saya kerana begitu mengagumi hasil karyanya yang mampu memberi kesedaran kepada sesiapa yang menghayati puisi berkenaan. Walaupun cara beliau mendeklamasikan sajak kelihatan cukup bersederhana, persembahannya mampu menggoncang jiwa setiap pendengar. Selain itu, saya turut mengagumi karya hasil Datuk Usman Awang dan Ahmad Sarju.

Bagaimana anda membahagikan masa antara pelajaran dengan pembabitan dalam bidang puisi?

Saya membuat jadual harian yang memperuntukkan waktu belajar, berlatih mendeklamasikan sajak dan membuat tugasan rumah yang lain, manakala pada hari minggu meluangkan masa beriadah bersama keluarga. Bagi saya, jadual harian amat penting bagi seseorang pelajar supaya mempunyai perancangan masa yang baik.

Apakah harapan anda pada masa hadapan?

Saya mahu mencapai citacita menjadi seorang pakar barah atau angkasawan negara, selain menanam hasrat untuk menjadikan bidang sastera sebagai salah satu kerjaya sampingan dengan menerbitkan sebuah buku himpunan koleksi sajak yang dihasilkan sendiri. Pada masa yang sama, saya berharap masyarakat di negara ini dapat bersamasama memainkan peranan memartabatkan bidang sastera dan menyemarakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.

Nur Athirah ketika sedang membuat latihan mendeklamasikan sajak

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.