40 peneroka dapat lot tapak rumah

Inisiatif bolehkan generasi kedua FELDA Jengka 2 bina kediaman

Berita Harian - - MASYARAKAT - Oleh Wan Kemat

Seramai 40 peneroka FELDA Jengka 2 menjadi kumpulan pertama generasi kedua di negeri ini menerima lot tapak rumah untuk membina kediaman sendiri.

Surat tawaran lot tapak rumah berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Seri Shahaniza Samsuddin yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul.

Shahaniza berkata, pemberian lot tapak rumah berkenaan adalah inisiatif kerajaan Pahang dengan FELDA dan 40 peneroka berkenaan adalah kumpulan pertama mendapat manfaat menerusi langkah itu.

Katanya, kerajaan Pahang mengadakan perbincangan yang panjang dengan FELDA untuk melak- sanakan inisiatif berkenaan kerana ia membabitkan pelbagai prosedur dan sukar dilaksanakan berikutan tanah dimiliki FELDA mempunyai sekatan di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok)1960 (Akta GSA).

“Namun selepas perbincangan dilakukan lebih lima tahun akhirnya kedua-dua pihak bersetuju memberikan lot tanah kosong kepada generasi kedua FELDA untuk mereka membina rumah,” katanya berucap menyampaikan surat tawaran lot tapak rumah itu di sini, semalam.

Teliti kaedah pemberian

Mengulas lanjut, Shahaniza berkata, kerajaan Pahang akan meneliti kaedah pemberian lot tanah yang sesuai dilaksanakan bagi memberi peluang kepada generasi kedua FELDA mendapat tapak lot dan membina kediaman sendiri.

“Sekiranya kaedah ini sesuai dan disukai generasi kedua maka lebih banyak lot tanah akan diagihkan supaya isu ketiadaan rumah kediaman dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang mendapat lot tapak rumah itu supaya tidak menjualnya kepada orang lain semata-mata untuk mendapat keuntungan segera tanpa memikirkan masa depan.

“Mereka seharusnya merancang membina rumah supaya dapat menikmati kehidupan lebih selesa apabila memiliki kediaman sendiri.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membantu golongan belia untuk meningkatkan taraf hidup termasuk dalam aspek perumahan,” katanya.

[FOTO WAN KEMAT /BH]

Shahaniza (tengah) bersama 40 generasi kedua FELDA Jengka 2 pada majlis penyerahan surat tawaran lot tapak rumah di Maran, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.