SPRM tahan tiga individu jual sijil pentauliahan palsu

Suspek guna nama IPTS jadi orang tengah urus pembelian

Berita Harian - - MAHKAMAH - Oleh Nor Azizah Mokhtar

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu dipercayai terbabit sindiket pengeluaran sijil pentauliahan palsu menggunakan nama beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini, kelmarin.

Sumber memberitahu, semua suspek ditahan kira-kira jam 4 petang dalam satu operasi dijalankan di sebuah lokasi di Jalan Ipoh.

Katanya, siasatan mendapati sindiket ini mengeluarkan sijil palsu ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma tanpa memerlukan seseorang mengikut kursus pembelajaran itu.

Ambil masa seminggu

“Sindiket ini hanya perlu mengambil masa seminggu untuk menyediakan sijil palsu terbabit menggunakan nama IPTS tertentu,” katanya.

Difahamkan, sijil pentauliahan palsu itu boleh diperoleh dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM16,000 bergantung kepada jenis sijil dan IPTS.

“Semua suspek yang ditahan itu berperanan sebagai orang tengah yang menguruskan proses pembelian sijil palsu berkenaan.

“Seorang daripada suspek yang ditahan adalah warga India berusia 30 tahun,” katanya.

Sumber berkata, pasukan penyiasat SPRM kini dalam proses mengenal pasti individu yang bertanggungjawab mencetak sijil pentauliahan palsu berkenaan.

Katanya, pihak SPRM juga sedang menyiasat sama ada individu dalam IPTS turut terbabit dan bersubahat dengan kegiatan berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan pihaknya sedang mengesan beberapa suspek lain dipercayai turut terbabit dengan kegiatan sindiket itu.

“Semua suspek ditahan semalam (kelmarin) dan dihadapkan ke Mahkamah Putrajaya hari ini (semalam) untuk direman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.