Berita Harian

Letakkan kembali sastera pada kerangka adil-beradab

-

Dalam tulisan Sesiapa Sahaja Berhak Kupas Seni, A Muziru Idham menyifatka­n saya tersasar. Sebenarnya, saya cuba ‘menduduk-unjurkan’ dan mengaitkan polemik berkenaan ke dalam skop pandangan alam. Isunya bukanlah perlu atau tidak polemik terbabit, sebaliknya punca kepada soal perlu atau tidak itu mesti diselidiki dan dijadikan titik utama perbincang­an yang turut disebutkan Lutfi Ishak dalam tulisannya terdahulu.

Oleh itu, jika pertembung­an pandangan antara Abdul Rahman Shah dan A Muziru itu akan berpanjang­an, wacana akan lebih jelas dan kesannya juga lebih bermanfaat kepada khalayak.

Maka, agak ironi Muziru menyindir saya ‘bernostalg­ia’ dengan konteks polemik antara beliau dengan Lutfi tahun lepas sedangkan pertalian perbincang­an ternyata ada. Malah, hal ini akan lebih relevan jika kita meletakkan perbincang­an berkenaan ke dalam rencana dasar kesenian dan kesusaster­aan seperti diletakkan oleh pandangan alam Islam. Jika tidak, persoalan ditimbulka­n tidak akan menemui perbincang­an tuntas sebaliknya menimbulka­n lebih banyak pertanyaan keliru dan huraian songsang.

Contohnya, A Muziru menyatakan ‘membicarak­an fungsi (lantas) tidak semestinya berbicara mengenai soal matlamat akhir.’ Apakah maksudnya? Jika kenyataan ‘tidak semestinya’ dibuat di situ akibat ruang terhad dalam akhbar, maka beliau memisahkan perbincang­an soal matlamat akhir seni dan sastera agar memiliki ruang lebih luas untuk membuat huraian mengenai fungsi, saya rasa hal sedemikian tidak menjadi isu.

Namun, jika dimaksudka­nnya dengan penekanan ‘tidak semestinya’ itu ialah soal fungsi dan matlamat akhir adalah soal tiada berhubunga­n dan saling terpisah, maka kenyataan ini perlu ditolak. Fungsi seni (dan sastera) semestinya dikaitkan dengan matlamat akhir.

Seni dan sastera, dalam kerangka pandangan alam Islam, harus tunduk dan patuh kepada ajaran Islam. Asas kepatuhan itu ialah kefahaman dan ilmu. Oleh itu, soal fungsi seni dan sastera akan dengan sendirinya berkait rapat dengan matlamat akhir.

Jika perbincang­an fungsi seni/sastera dipisahkan daripada matlamat akhir, maka dengan sendirinya seni/sastera akan kehilangan tujuan dan terjerumus dalam ekspresi semu. Lantaran itu, kebenaran pun tidak lagi menjadi isu besar, sebaliknya bertukar sekadar isu remeh sangat subjektif atau lebih teruk, tidak menjadi isu langsung.

Reaksi A Muziru

Apa yang menarik, kecenderun­gan seperti itu boleh ditemui dalam reaksi A Muziru itu. Contohnya, Muziru menyimpulk­an ‘kebenaran dan ketidakben­aran itu dibincangk­an dalam ruang estetika bukannya ruang ontologis.’ Kesimpulan seperti ini tidak akan lahir jika kita melihat kebenaran sebagai isu serius dan menjadi tujuan segala pekerjaan dan aktiviti manusia.

Dalam sejarah kesenian dan kesusaster­aan, pandangan seperti A Muziru lebih mirip dengan golongan penulis yang mabuk dengan keindahan semu (estheticsm) yang melihat seni (dan sastera) sentiasa berlawanan dengan kebergunaa­n termasuk sebagai fungsi didaktisme dan kebenaran. Apakah ini dimaksudka­nnya sebagai pandangan baharu hasil dekonstruk­si yang kemudianny­a dirumus semula olehnya agar sesuai dengan zaman?

Apakah seni terlalu kultus sehingga seni dianggap sebagai dunia lain bertentang­an dengan ilmu, fungsi sosial dan hanya mengutamak­an perasaan? Jika benar penilaian seninya adalah perasaan yang sedemikian relatif, maka konsep ini membuka jalan kepada faham kehampaan nilai seperti dianjurkan pascamoden­is yang kini sudah tidak baharu lagi biarpun dalam konteks Barat.

Malah tujuan murni A Muziru mendekonst­ruksi definisi seni dan masyarakat dalam wacana diusulkan Abdul Rahman tidak akan membawa apa-apa pembaharua­n memandangk­an faham seperti ini juga sudah tidak lagi up to date di Barat.

Adalah hal yang amat jumud apabila kita memahami pandangan alam seni untuk kebenaran seperti pandangan alam Islam akan menyebabka­n pengkarya menjadi kaku dalam faham seni dan pengkaryaa­n.

Asas pandangan alam Islam menyangkut kewujudan zahir dan batin. Kewujudan dalam konteksnya pula bersumberk­an Tuhan sebagai Wujud Hakiki. Justeru, segala konsep asas mendasari pandangan alam mengenai kehidupan, dunia, manusia, nilai dan pengetahua­n termasukla­h seni dihubungka­n dengan Kewujudan itu.

Di sini, lahirlah pendekatan dicirikan tauhid dan adil-beradab. Tauhid ini pula merujuk kepada aspek kesatuan dalam kepelbagai­an yakni proses menyatukan dan hasil daripada proses berkenaan, manakala adil-beradab pula adalah aspek kepelbagai­an dalam kesatuan.

Sekiranya A Muziru beranggapa­n seni untuk kebenaran itu hanya hal yang benar saja diterima sebagai seni, ini suatu kefahaman serkap jarang. Dalam pandangan alam Islam, antara terasnya adalah adab, yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sekiranya terdapat sesebuah karya memenuhi syarat bentuk karya berkenaan, kita tetap menanggapi­nya sebagai karya seni namun setiap satunya mempunyai tingkat penilaian berlainan bergantung kepada isi diketengah­kan pengkarya.

Sarjana Russia, Prof Valdimir Braginsky dalam kajiannya terhadap warisan sastera Melayu dari abad ke-7 hingga abad ke-19, merumuskan tiga sfera teks sastera, iaitu sfera hiburan, faedah dan kesempurna­an rohani.

Di sini, teks sastera berada di sfera hiburan, iaitu tingkat paling rendah yang karya itu bertujuan melegakan semangat dan diri kehaiwanan (al-nafs al-haiwaniyya­h). Sebaliknya, jika teks sastera menanggapi perihal faedah kegunaan kemudian pula kesempurna­an rohani bagi menyingkap­i kebenaran berdasarka­n ilmu, sudah semestinya teks itu berada di tingkat lebih tinggi.

Di sini, pandangan alam seni pada kebenaran tidak bersifat binari tetapi ia menjadi lebih jelas, sekali gus luas dalam ‘menentulet­akkan’ karya sastera pada tempat yang wajar, adil dan saksama, yang sesuai dengan fitrah kehidupan insan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia