MHC tetap puas hati prestasi hoki
Kuala Lumpur: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal puas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan lelaki dan wanita negara pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang melabuhkan tirainya kelmarin.
Katanya, walaupun keduadua pasukan gagal menghadiahkan pingat, banyak petanda positif mampu dibanggakan terutama skuad lelaki yang berjaya memperbaiki penamat ketujuh edisi lalu dengan meraih tempat kelima kali ini.
“Secara keseluruhannya saya berasakan tiada masalah kerana kita pun tidak meletakkan sebarang sasaran. Sebaliknya jurulatih sendiri yang meletakkan sasaran masingmasing untuk atasi pencapaian Sukan Komanwel lalu.
“Tetapi apapun, saya rasa ini bukanlah pencapaian terbaik, maksud saya kita mungkin boleh buat lebih baik,” katanya ketika dihubungi.
Apa yang membanggakan, penamat kelima skuad bimbingan Stephen Van Huizen diraih tanpa beberapa pemain utama seperti Faiz Helmi Jali, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Marhan Jalil dan Izad Hakimi Jamaluddin.
Dalam pada itu, Subahan mengesahkan kedudukan Dhaarma Raj Abdullah tidak tergugat apabila terus diberi kepercayaan untuknya terus membimbing skuad hoki wanita negara menghadapi Sukan Asia Jakarta, Ogos depan.
Kian dihormati
Selepas gagal membimbing Malaysian Tigress memperbaiki pencapaian tempat ketujuh dalam edisi lalu di Glasgow 2014 dengan sekadar meraih penamat kelapan dalam temasya Sukan Komanwel Gold Coast yang dilabuhkan tirainya kelmarin, masa depan pengendali berusia 49 tahun itu sedikit goyang.
“Saya fikir, ia bukannya satu masalah. Saya rasa pencapaian ini tiada kena mengena dengan jurulatih.”
“Walaupun dapat nombor lapan, saya rasa skuad wanita sudah mencapai peningkatan begitu ketara. Dahulu kita takut bila nak bertemu pasukan gergasi dunia, tetapi hari ini mereka pula yang makin menghormati kita,” kata Subahan.