Berita Harian

Jadual padat tunggu atlet terjun

-

Sepang: Tiada istilah cuti rehat buat barisan penerjun negara apabila mereka berdepan jadual padat biarpun baru tiba di tanah air semalam selepas menyertai temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Hanya diberikan rehat sehari, mereka akan kembali menjalani latihan esok.

Penerjun utama wanita, Cheong Jun Hoong, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri bakal membawa cabaran negara pada Kejohanan Terjun Siri Dunia di Montreal, Kanada, 27 April ini.

Selain itu, ada tiga lagi kejohanan penting buat mereka, iaitu dua Siri Terjun Dunia dan Piala Dunia di Wuhan China pada Jun sebelum ke Sukan Asia Indonesia pada Ogos ini.

Bagi juara dunia, Jun Hoong biarpun pulang dengan satu emas hasil kejayaanny­a dalam acara 10 meter seirama berganding­an bersama Pandelela, dia tetap tidak mahu meletakkan sebarang sasaran di semua kejohanan yang disertainy­a.

Aksi konsisten

“Saya tak akan terlalu memberi tekanan untuk menang di setiap kejohanan yang disertai. Apa yang perlu dilakukan ambil setiap cabaran itu satu persatu dan kemudian tengok apa yang boleh dilakukan.

“Itu yang saya lakukan di semua kejohanan yang disertai termasuk di Sukan Asia nanti,” katanya.

Nama Jun Hoong mula melonjak hasil kejayaanny­a meruntuhka­n penguasaan penerjun dari China untuk muncul juara pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary tahunlalu.

Aksinya terus konsisten apabila membuka tahun ini dengan kejayaan satu perak dan satu gangsa pada dua siri Kejohanan Terjun Dunia masing-masing di Beijing dan Jepun.

Skuad terjun negara menamatkan saingan pada Sukan Komanwel dengan satu emas dan dua gangsa.

Dua gangsa disumbang oleh Nur Dhabitah dan Leong Mun Yee dalam acara 3m papan anjal terjun seirama serta 10m terjun seirama.

 ?? [ FOTO ASWADI ALIAS/BH ] ?? Pandelela (kiri) dan Jun Hoong tiba di klia2, semalam.
[ FOTO ASWADI ALIAS/BH ] Pandelela (kiri) dan Jun Hoong tiba di klia2, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia