Kerjasama DEFTECH, TAI perkasa pertahanan negara
Pembekalan UAV jenis ANKA MALE penuhi keperluan strategik TUDM
DRb-hicom Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) dan Turkish Aerospace Industries Inc (TAI) bersetuju menjalin kerjasama mempromosikan pesawat tanpa pemandu (UAV) Daya Tahan Jarak Jauh Altitud Sederhana (MALE) ANKA.
Kedua-dua pihak semalam bertukar Perjanjian Kerjasama Industri (ICA) pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2018) bagi memenuhi keperluan strategik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ketua Pegawai Eksekutif DEFTECH, Lt Kol Datuk Amril Samsudin, berkata Turki memiliki industri pertahanan yang mantap dengan teknologi ketenteraan amat canggih.
Sedia kongsi kemajuan
“Kerjasama DEFTECH bersama TAI dibangunkan daripada pengalaman kerja meluas bersama FNSS, rakan strategik kami bagi kenderaan berperisai.
“Syarikat dari Turki amat telus dan bersedia berkongsi kemajuan mereka dalam teknologi kritikal bersama kami. Justeru, kami menjangkakan selain daripada potensi membekalkan UAV jenis ANKA MALE, kerjasama Deftech dengan TAI akan diperluaskan kepada pembelajaran amalan terbaik daripada mereka bagi meningkatkan keupayaan kami,” katanya.
Deftech, TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melawat kemudahan TAI di Ankara tahun lalu dan satu bengkel lanjutan dibuat antara ketiga-tiga pihak bagi memuktamadkan keperluan, spesifikasi dan parameter yang sesuai dengan TUDM.
Skop kerjasama Deftech dengan TAI termasuk komposit udara moden, teknologi aeroangkasa dan pesawat tanpa pemandu.
Melalui kerjasama itu, Deftech menyasar untuk memaksimumkan anak syarikatnya yang terbabit dalam segmen sistem aeroangkasa dan tanpa pemandu.
Pameran pertahanan utama dunia
Kerjasama itu dimeterai semasa DSA 2018, satu daripada lima pameran pertahanan utama di dunia.
Syarikat antarabangsa yang membuat kemunculan termasuklah ADS UK, Aimpoint, Airbus, Armscor, Avibras, BAE Systems, Boeing, Brahmos, CETC, CPMIEC, CSTS/CSSC, Denel, DSME, Emirates Defence Industries Company (EDIC), EID, Expal, GIDS, Glock, Kongsberg, Korea Defense Industry Association (KDIA), Leonardo, L-3 TRL Technology, MBDA, Nammo, Naval Group, Nexter, Pyser-sgi (Asia), Raytheon, Renault, Rheinmetall AG, Rosoboronexport, Ruag, Russian Technologies, SASTIND, SSM (Turkish Industry Association), Team Defence Australia, Thales, dan UKTI-DSO.
Selain DEFTECH, syarikat tempatan lain yang menyertai pameran itu adalah AVP Engineering, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Destini Bhd,, Muhibbah Engineering, Rohde & Schwarz Malaysia, Sapura, SME Ordnance, System Consultancy Services (SCS), dan Weststar Group.
Pameran dan persidangan akan diadakan sehingga 19 April ini.
Turki memiliki industri pertahanan yang mantap dengan teknologi ketenteraan amat canggih. Kerjasama DEFTECH bersama TAI dibangunkan daripada pengalaman kerja meluas bersama FNSS, rakan strategik kami bagi kenderaan berperisai” Amril Samsudin,
Ketua Pegawai Eksekutif DEFTECH