Harga minyak sawit dijangka meningkat
Peningkatan didorong permintaan global kukuh
Harga minyak sawit dijangka melepasi RM2,600 satu tan pada pertengahan 2018 daripada harga semasa RM2,400 satu tan, berikutan permintaan global yang teguh.
Penganalisis Kanan MIDF Amanah Investment Bank, Alan Lim Seong Chun, berkata pihaknya optimis terhadap harga minyak sawit kerana bekalan pesaingnya, kacang soya menurun sedikit.
“Permintaan minyak sawit global dijangka meningkat apabila bekalan pesaingnya, kacang soya menurun sedikit,” katanya kepada pemberita pada persidangan pasaran anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di Petaling jaya, semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Datuk Kalyana Sundram; Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Pasaran MPOC, Faudzy Asrafudeen Sayed Mohamed; Naib Presiden Kanan Pembangunan Produk Komoditi Bursa Malaysia Derivatives, Moriazi Mohamad.
Seong Chun berkata, cuaca kering di Argentina telah mengurangkan bekalan kacang soya sebanyak 30 peratus dan tahun ini, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat menganggarkan kawasan tanaman kacang soya Amerika berkurang sebanyak satu mata peratusan kepada 36 juta hektar.
“Ini menyebabkan harga minyak soya global naik lapan peratus setakat ini, tahun ini,” katanya.
Permintaan global
Seong Chun berkata, satu lagi faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga minyak sawit ialah permintaan global untuk minyak sawit sebagai persediaan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri dalam kalangan negara Islam.