Fahami batas pergaulan
Hubungan akrab guru dan pelajar wujudkan suasana selesa dalam pembelajaran
Ketua Panitia Hifz alquran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kuala Lumpur, Encik Mohd Syarafuddin Yahaya, berkata memandangkan kehidupan manusia kini terarah kepada pengaruh teknologi yang semakin berkembang, pelajar tidak boleh disalahkan semata-mata akibat kelemahan dalam adab pergaulan.
Katanya, hal ini demikian kerana pelajar yang masih muda memerlukan bimbingan orang lebih tua seperti guru, ibu bapa dan sesiapa sahaja yang lebih berusia serta matang daripada mereka.
“Dalam situasi sekarang, tidak salah sekiranya guru dan pelajar mempunyai hubungan akrab seperti seorang rakan bagi mewujudkan suasana lebih selesa untuk meneruskan proses pembelajaran, asalkan masing-masing tahu batas serta adab pergaulan.
“Jika dibandingkan zaman dahulu, suasana pembelajaran kini sudah jauh berubah. Bagaimanapun, guru dan pelajar harus tahu peranan masingmasing dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada BH Minda.
Pengaruh negatif
Mengulas mengenai faktor pelajar kini kurang menghormati guru, Encik Mohd Syarafuddin berkata, antara puncanya adalah pengaruh budaya luar akibat penggunaan media sosial yang tidak terkawal.
Beliau berkata, sebagai contoh, pelajar yang sering terdedah kepada pelbagai video tidak baik sudah pasti akan mempengaruhi perlakuan mereka.
“Perkara ini yang kita bimbang apabila pelajar seolaholah lupa dan meninggalkan budaya Islam atau budaya timur apabila lebih mengagungkan budaya luar.
“Melihat kepada situasi ini, guru yang menjadi individu rapat kepada pelajar boleh menasihati mereka dan pada masa sama pelajar harus tahu bagaimana hendak menghormati pesanan guru masing-masing,” katanya.
Anjur kempen
Menyentuh usaha penerapan nilai murni dalam diri pelajar, Encik Mohd Syarafuddin berkata, sebagai contoh, sekolahnya mengambil inisiatif meng- anjurkan kempen Biah Solehah dengan kerjasama Badan Dakwah dan Rohani (Badar) dan Badan Pengawas sekolah, bermula tahun lalu.
Katanya, kempen yang dijalankan setiap bulan dengan susunan tema terpilih bertujuan menerapkan nilai-nilai murni kepada pelajar menerusi penterjemahan pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan.
“Pada Februari lalu, tema ‘Yang kecil disayangi, yang besar dihormati’ dipilih bagi memastikan pelajar di sekolah ini hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Pelbagai program yang menjadi pengisian kempen berkenaan dilihat memberi kesedaran kepada pelajar untuk menghormati orang lebih tua tetapi pada masa sama masih mengekalkan hubungan yang tidak mempunyai jurang terlalu besar,” katanya.