Nilai murni kekalkan hubungan harmoni di sekolah
Kuala Lumpur: Tinggal di sekolah berasrama mampu mewujudkan hubungan kekeluargaan yang baik antara guru, pelajar, malah dengan seluruh warga sekolah.
Peluang itu dimanfaatkan pelajar, Imi Amirah Faqihah Khairul Nizam, 15, memandangkan keluarganya berada jauh dan hanya berjumpa pada hujung minggu atau ketika cuti sekolah.
“Saya sudah menganggap seluruh warga sekolah tidak kira guru, pekerja kantin atau staf sokongan sekolah sebagai sebuah keluarga angkat yang besar.
“Walaupun mempunyai hubungan yang rapat, sebagai pelajar, kami masih perlu menghormati dan menyayangi mereka sama seperti keluarga sendiri supaya hubungan yang wujud terus mekar dan kekal sampai bila-bila,” katanya.
Eratkan hubungan
Imi Amirah Faqihah berkata, sebagai contoh, majlis berbuka puasa perdana yang diadakan pada hari Khamis minggu ketiga setiap bulan di sekolahnya adalah antara program yang dapat mengeratkan hubungan seluruh warga sekolah.
“Pada majlis berkenaan, penerapan nilai murni diti- tikberatkan dengan golongan muda harus sentiasa menjaga adab sopan untuk berkomunikasi dengan guru dan warga sekolah lain yang lebih tua daripada mereka,” katanya.
Sementara itu, rakannya, Muhammad Hafiz Muhammad Lukman,15, berkata pelajar sekolah berkenaan bertuah kerana sentiasa diingatkan untuk menghormati orang lebih tua setiap kali menghadiri usrah di masjid atau aktiviti lain.
Katanya, nilai murni yang sentiasa dipraktikkan dalam kalangan warga sekolah memastikan suasana harmoni sebagai sebuah keluarga dapat dikekalkan.