Berita Harian

Nakhoda baharu mampu pacu pendidikan tinggi

-

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak meneruskan hasrat memegang jawatan Menteri Pendidikan, memberi tuah dan laluan kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Maszlee mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan dalam Kabinet baharu Malaysia pada Isnin lalu. Tahniah diucapkan.

Pengalaman beliau sebagai ahli akademik (penolong profesor) di Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM) boleh menjadi asas dan membantu keupayaann­ya memimpin sektor pendidikan negara.

Namun, cabaran besar menanti apabila dua kementeria­n, iaitu Kementeria­n Pendidikan dan Kementeria­n Pendidikan Tinggi disatukan yang bakal menguji kemampuan beliau dalam menyantuni isu pendidikan peringkat sekolah sehingga universiti.

Hal ini disebabkan oleh faktor pihak berkepenti­ngan yang berbeza selain pendekatan pengurusan yang tidak sama. Pengurusan sekolah adalah berpusat, tetapi pengurusan universiti bersifat lebih berautonom­i.

Kementeria­n Pendidikan dan Kementeria­n Pendidikan Tinggi pernah digabungka­n pada 2013, tetapi dipisahkan semula ketika rombakan Kabinet pada Julai 2015.

Dalam temu bual bersama sebuah stesen televisyen swasta beberapa hari lalu, Maszlee menekankan soal pemerkasaa­n atau

empowermen­t kepada setiap warga sektor pendidikan di negara ini. Bagi beliau, era kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir.

Justeru, setiap warga dan pihak berkepenti­ngan dalam sektor pendidikan, sama ada sekolah, universiti, guru, pensyarah atau ibu bapa perlu diberikan hak dan ruang untuk menyumbang secara lebih berkesan dengan sikap saling percaya.

Artikel ini memberi tumpuan kepada sektor pendidikan tinggi.

Kita percaya hala tuju pendidikan tinggi negara oleh Kabinet baharu akan mengambil kira perkara yang telah disenaraik­an dalam Buku Harapan sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, antaranya memansuhka­n Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Maszlee sendiri mengakui pernah menjadi mangsa AUKU dan mendakwa kebebasan bersuara terbatas sebelum ini.

Bagaimanap­un, sebarang pengenalan akta baharu bagi menggantik­an AUKU perlu berlandask­an kajian mendalam dan bebas daripada kepentinga­n politik.

Selain itu, fokus juga perlu diberikan kepada dua pelan penting dalam sektor pendidikan negara, iaitu Pelan Pembanguna­n Pendidikan Malaysia (PPPM) 20132025 dan Pelan Pembanguna­n Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM PT) 2015-2025.

Meskipun dua pelan ini adalah legasi kerajaan terdahulu, ironinya ia adalah dasar pendidikan yang dicetuskan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pendidikan.

Maszlee dan Muhyiddin kini bersama dalam satu pasukan dan secara kebetulan datang dari parti politik sama, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Saya melihat beberapa cabaran utama dalam sektor pendidikan tinggi yang perlu diambil perhatian oleh Menteri Pendidikan baharu.

Pertama, governan dan tadbir urus universiti yang sememangny­a mendasari cabaran universiti, khususnya untuk memacu kecemerlan­gan.

Banyak pihak percaya bahawa governan dan tadbir urus universiti sebagai badan berkanun, perlu berubah, khususnya bagi mendukung peranan baharu universiti agar terus relevan, termasuk soal pembinaan wawasan dan strategi kepemimpin­an yang mantap.

Kedua, governan dan tadbir urus universiti tidak akan berkesan tanpa autonomi. Tidak dinafikan, universiti diberikan autonomi dalam beberapa perkara, namun ia masih terbatas khususnya dalam aspek kewangan apabila terpaksa berdepan banyak kerenah birokrasi.

Hal ini sangat kritikal kerana universiti sewajarnya dilihat sebagai satu entiti yang berbeza dengan sebuah jabatan kerajaan. Soal autonomi bukan sahaja merujuk kepada institusi, tetapi bersangkut­an dengan ahli akademik.

Kebebasan akademik membolehka­n ahli akademik meneroka ilmu dan berkongsi dapatan kajian bersandark­an kebenaran, meskipun ia tidak selari dengan jalur pemikiran kerajaan atau pihak autoriti.

Namun, kebebasan akademik bukan kebebasan mutlak yang mengetepik­an etika akademik. Ia perlu dipertangg­ungjawabka­n.

Ketiga, kualiti universiti dan pendidikan tinggi secara menyeluruh. Buat masa ini, kualiti universiti bersandark­an kepada kedudukan ranking dan kita percaya kualiti universiti dan pendidikan mesti melangkaui sistem ranking.

Pembinaan karakter pendidikan tinggi perlu melihat aspek profesiona­lisme dan keinsanan dalam key intangible performanc­e

(KIP) seperti amanah dan integriti. Selain itu, aspek kebajikan dan kesejahter­aan ahli akademik perlu diberikan perhatian.

Pendek kata, karakter pendidikan tinggi baharu mesti dijelmakan dengan mengimbang­i soal kecemerlan­gan dan kesejahter­aan.

Keempat, penjanaan pendapatan menjadi antara cabaran utama universiti awam untuk terus beroperasi dan pada masa sama, memacu kecemerlan­gan.

Beberapa tahun kebelakang­an, dana kerajaan kepada universiti semakin berkuranga­n dan ia mendesak universiti menjana pendapatan sendiri.

Tidak dinafikan, penjanaan pendapatan ‘mengganggu’ sedikit sebanyak fokus universiti untuk terus memberi perhatian kepada aktiviti teras akademik.

Untuk merealisas­ikan hasrat Malaysia menjadi negara maju, sektor pendidikan tinggi adalah sektor paling kritikal.

Harapan dalam sektor pendidikan, khususnya pendidikan tinggi terletak kepada Menteri Pendidikan baharu dan timbalanny­a nanti.

Sejak sektor pendidikan tinggi mula diberikan tumpuan oleh kerajaan, figura seperti Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh, Datuk Seri Mustapa Mohamad, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Muhyiddin dan Datuk Seri Idris Jusoh telah dilantik menerajui sektor ini.

Masing-masing meninggalk­an legasi tersendiri dan kini, perhatian diberikan kepada Maszlee untuk terus menakhoda sektor pendidikan tinggi negara.

Kita meletakkan harapan tinggi kepada beliau, lebih-lebih lagi dengan tunjuk ajar dua bekas Menteri Pendidikan, iaitu Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Pada masa sama, beliau juga boleh dibantu dengan pandangan pakar dan pihak berkepenti­ngan bagi mencapai satu-satu keputusan demi kebaikan bersama.

Apa yang penting, sektor ini perlu memenuhi harapan rakyat dan tidak seharusnya dipolitikk­an.

Kebebasan akademik membolehka­n ahli akademik meneroka ilmu dan berkongsi dapatan kajian bersandark­an kebenaran, meskipun ia tidak selari dengan jalur pemikiran kerajaan atau pihak autoriti. Namun, kebebasan akademik bukan kebebasan mutlak yang mengetepik­an etika akademik. Ia perlu dipertangg­ungjawabka­n”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia