Berita Harian

PAS sedia berdamai dengan DAP demi kebaikan

-

Kuala Lumpur: Datuk Seri Hadi Awang, menyifatka­n DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sedang melalui satu fasa positif apabila tidak lagi mencampuri urusan berkaitan Islam.

Presiden PAS itu berkata, parti itu tidak seperti sebelum ini sering membuat kenyataan termasuk mempertika­i isu berkaitan hal ehwal agama Islam, yang menjadi antara punca utama PAS meninggalk­an Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

“Saya respon dengan cara positif apabila pemimpin DAP tidak lagi ‘cirit-birit’ dalam membuat kenyataan.

“Dahulu dia (DAP) membuat kenyataan berkenaan Islam yang mana tiada hak dengannya untuk menyentuh hal berkaitan orang Islam, saya harap ‘break’ (DAP rehat dari buat kenyataan berkaitan Islam) ini diteruskan,” katanya ketika wawancara bertajuk Politik PAS Era Malaysia Baharu bersama Astro Awani, di sini, semalam.

Sebelum ini, Majlis Syura PAS memutuskan untuk menamatkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan pakatan pembangkan­g dalam PR, selepas tidak sehaluan dengan tindak tanduk DAP.

Mengulas lanjut, katanya, amat penting supaya asas Perlembaga­an yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi Persekutua­n diberikan keutamaan.

“Hak berkaitan Islam biar orang Islam yang bercakap... mereka boleh bela hak kaum mereka sendiri dan Islam tak akan ganggu hak mereka.

“Ini perlu dikembalik­an kepada asas perlembaga­an seperti saya sebut Islam agama Persekutua­n perlu dihormati dan pada masa sama, kebebasan (diberikan untuk) mengamalka­n agama lain yang tidak mengacau satu sama lain. Ini sangat penting,” katanya.

Sedia sambut tangan dua pemimpin DAP

Ditanya mengenai pendirian PAS sama ada sedia menyambut tangan dua pemimpin DAP, iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng untuk bekerjasam­a, Hadi mengakui bersedia untuk berbuat demikian jika bertepatan dengan konsep ‘taawun’, iaitu penyatuan atau kerjasama dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan.

Perkenal konsep ‘taawun’

“Kita sedia terima semua sebab itu saya perkenal konsep ‘taawun’ kita kerjasama perkara yang baik dan tak bekerjasam­a perkara yang tak baik. Itu konsep kita amalkan,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Hadi ketika ditanya berhubung peranan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mungkin menjadi penghubung antara PAS dan PH, menegaskan beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Saya tak boleh buat satu andaian mengenai perkara akan datang, namun perkara lalu menjadi pengalaman kepada kita supaya beliau (Anwar) konsiten dalam kerjasama kita (PAS) dengan pakatan (PR) dulu yang mana (ketika itu) tak ada konsistens­i dalam (ketetapan) tidak menyentuh perkara dasar.

“Perkara berkaitan Islam DAP tak boleh sentuh kerana itu hak kita menjadi masalah apabila PKR yang dipimpin beliau (Anwar) mengambil sikap pragmatik yang hanyut dan tak berpihak kepada pandangan Islam yang kita kemukakan ini masalah yang kita hadapi,” katanya.

Sementara itu, Hadi turut menyambut baik keterbukaa­n Kerajaan Pusat dalam usaha membina sebuah negara secara bersama, malah mengakui akan ada rundingan antara negeri dengan pusat kelak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia