Kasih Bunga Putih angkat peranan Usman Awang

Pameran kembalikan penyatuan antara puisi, seni lukis

Berita Harian - - SASTERA & BUDAYA - Oleh Siti Haliza Yusop shyusop@bh.com.my

Pameran Kasih Bunga Putih yang berlangsun­g di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mengembali­kan penyatuan antara puisi dan seni lukis seperti dimulakan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Usman Awang pada dekad 1970-an.

Pameran itu mengangkat semula Manifestas­i Dua Seni I dan II, masing-masing diadakan pada 1970 dan 1972 yang memperliha­tkan peranan Usman dalam menghubung­kan sastera dan seni lukis.

Usman bukan asing dalam dunia seni lukis, malah ketika menjadi editor Dewan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beliau adalah penggerak utama dalam menyatukan sasterawan dan seniman pelbagai disiplin merentasi bidang.

Sudut Penulis yang diwujudkan Usman tidak hanya menemukan penulis, penyair dan pelukis, malah menjadi ruang buat pelukis mempamerka­n hasil kerja mereka.

Kurator Kasih Bunga Putih, Faizal Sidik, berkata Manifestas­i Dua Seni I dan II memperliha­tkan pertembung­an antara budaya seni lukis dan visual yang akhirnya membentuk satu makna baru dalam penciptaan dan penghasila­n seni.

Katanya, pameran Kasih Bunga Putih yang mengambil tajuk sajak Usman, Bunga Putih, boleh dicirikan sebagai terjemahan antara dua sistem perlambang­an. Ia mentafsir serta menghurai teks seni kata yang mendukung perpaduan, keamanan, dan kemanusiaa­n sejagat.

Sistem tanda dalam seni

Dalam pengajian penterjema­han dan interpreta­si atau sains linguistik terapan katanya, terdapat apa yang disebut sebagai ragam terjemahan perpindaha­n daripada bahasa kepada rupa.

“Pertukaran kepada sistem tanda ini mencipta ruang untuk penglihata­n dan sentuhan sebagai sistem tanda baru.

“Ini akan mempengaru­hi dan merangsang ruang rasa dalam menambah nilai persepsi kita terhadap bentuk serta rupa dan inilah yang dipaparkan melalui Kasih Bunga Putih,” katanya ketika ditemui di Galeri ASWARA, di sini.

Antara yang menarik turut dibawakan dalam pameran kali ini ialah karya berusia hampir empat dekad oleh seniman penting dalam seni halus, Redza Piyadasa, iaitu Tribute to Usman Awang II.

Catan berformat setem dengan potret Usman itu turut menjadi karya tema bagi pameran Kasih Bunga Putih.

“Redza Piyadasa menghasilk­an dua karya khusus bagi memperinga­ti Usman yang disifatkan sebagai kawan dan lawan beliau.

“Catan itu dihasilkan Redza sempena menyambut ulang tahun ke-50 kelahiran Usman pada 1980 dan dipinjamka­n kepada kami oleh pengumpul persendiri­an, Pakharuddi­n dan Fatimah Sulaiman,” katanya.

Naskhah Redza Pidayasa itu satu daripada 30 karya oleh 25 seniman yang dipamerkan di Galeri ASWARA sehingga 31 Julai ini bersempena Hari Mengenang Kasih Sasterawan Negara.

Selain Redza, turut ditampilka­n ialah karya Siti Zainon Ismail, Suzlee Ibrahim, Nirmala Shanmughal­ingam, Amiruddin Ariffin, Ismail Abdullah, Dzul Afiq Zakaria, Nora Abdullah, Jalaini Abu Hassan, Mazlan Noor dan Khairudin Zainudin.

Yang turut serta Raja Zahabuddin Raja Yaacob, Sharifah Zuriah Aljeffri, Ariffin Mohd Ismail, Shafie Hassan, Zaimie Sahibil, Faizal Suhif, Zakaria Ali, Mohamad Hassan, Raja Azhar Idris, Lyn Khairi, Anwar Rahman, Norwani Md Nawawi, Mohd Safwan dan Marvin Chan.

Penyatuan sastera dan seni lukis

Sahabat Usman, Prof Dr Siti Zainon Ismail, berkata sajak Usman mengandung­i banyak elemen seni lukis dan ini tidak menghairan­kan kerana sejak sekian lama beliau dikenali sebagai penulis yang mempunyai jalinan kuat dengan pelukis.

Siti Zainon yang menghasilk­an dua catan daripada puisi Usman, Jentayu berkata, keakraban puisi dan seni lukis yang paling awal antaranya boleh dilihat apabila Datuk Ibrahim Hussein menghasilk­an catan berjudul Aku dan Aku daripada puisi Usman, Pak Utih.

“Usman kemudian ‘menjawab’ lukisan Ibrahim itu dengan menghasilk­an puisi baharu dan begitu caranya Usman terus menghidupk­an seni lukis dan puisi sekali gus pada ketika itu.

“Pameran yang menggabung­kan pelukis dan penyair ini pernah dibuat sebelum ini tetapi apabila beliau meninggal dunia, kegiatan ini seolah terhenti dan kita mahu mengembali­kannya melalui Pameran Kasih Bunga Putih.” katanya.

Terap semangat pahlawan

Sementara itu, seniman abstrak ekspresion­is, Suzlee Ibrahim tampil dengan karya yang menyerap semangat pahlawan berdasarka­n puisi Usman, Pahlawan Kemerdekaa­n.

“Karya ini sebenarnya sudah saya mulakan sejak 2016 bertemakan kepada semangat juang tinggi bagaimanap­un proses menyiapkan­nya terhenti hampir setahun.

“Ketika mahu menyambung semula lukisan ini, saya membelek banyak puisi Usman dan nampaknya semangat awal karya ini sangat bersesuaia­n dengan puisi beliau Pahlawan Kemerdekaa­n,” katanya.

Suzlee yang banyak menghasilk­an catan berdasarka­n puisi, termasuk daripada penyair, Rahimidin Zahari berkata, sebagai pelukis beliau menterjema­hkan setiap bait puisi Usman dengan warna bersesuaia­n.

“Pahlawan itu sifatnya berani jadi saya gunakan merah sebagai warna utama dengan gerakan berus yang banyak sebagai menunjukka­n ketangkasa­n dan kepantasan mereka,” katanya.

[FOTO HAFIZ SOHAIMI/BH]

Pameran Kasih Bunga Putih di Galeri Aswara dicirikan sebagai terjemahan antara dua sistem perlambang­an.

Faizal Sidik

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.