Berita Harian

Amphicoach didenda hampir RM400,000

Bas dua alam amfibia gagal operasi akibat masalah pemanasan melampau

- Oleh Baharom Bakar

Syarikat pembekal bas amfibia (Amphicoach) didenda hampir RM400,000 berikutan kegagalan kenderaan itu beroperasi selepas mengalami masalah pemanasan melampau ketika proses ujian, Rabu lalu.

Berikutan kerosakan itu, bas dua alam bernilai RM3.3 juta yang dikatakan mampu bergerak dalam air dan di daratan tersadai apabila kerajaan negeri memutuskan untuk tidak menerimany­a walaupun tempoh penyerahan kenderaan itu berakhir Oktober tahun lalu.

Lewat serah kenderaan

Bas dua alam amfibia itu ditempah khas dari sebuah syarikat di Malta pada 2014 oleh kerajaan negeri untuk pelanconga­n dan operasi menyelamat mangsa banjir di kawasan yang sukar dilalui kenderaan berat.

Pengerusi Jawatankua­sa Pelanconga­n, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata syarikat pembekal bas itu didenda kerana lewat menyerahka­n kenderaan itu dalam keadaan sempurna RM1,100 sehari mulai 6 Oktober tahun lalu.

Katanya, sehingga kini jumlah denda yang dikenakan kerajaan negeri ke atas syarikat pembekal bas itu sebanyak RM349,800 dan mungkin melebihi RM400,000, bergantung atas kelewatan.

“Sejak bas dua alam berukuran 12 meter panjang dan boleh menampung 47 penumpang dengan kelajuan 110 kilometer sejam di darat itu dihantar ke negeri ini pada 18 Februari tahun lalu, kerajaan negeri sudah melakukan beberapa pandu uji dan kali terakhir Rabu lalu.

“Bas yang digerakkan oleh enjin jenis MAN berkapasit­i 300 kuasa kuda dengan jet marin berkembar mencapai kelajuan maksimum sehingga 8 knot di dalam air gagal melepasi piawaian ditetapkan apabila berlaku pemanasan melampau ketika ujian dilakukan Jabatan Laut,” katanya kepada NSTP ketika dihubungi.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, berkata kos keseluruha­n bas berkenaan adalah RM3.3 juta dan kerajaan sudah membuat pembayaran sebanyak RM3 juta.

“Saya yakin, kerajaan tidak akan bayar satu sen pun baki RM300,000 sehingga bas itu diserahkan kepada kita. Bagi mengelakka­n kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian, syarikat pembekal bas masih diberi peluang untuk membaiki kerosakan,” katanya.

Ariffin berkata, kerja pembaikan bas itu akan dilakukan sendiri jurutera MAN yang beribu pejabat di Rawang, Selangor, minggu depan.

 ?? [FOTO GHAZALI KORI /BH] ?? Bas amfibia melintasi Masjid Kristal ketika sesi pandu uji menyusuri Sungai Terengganu, Februari lalu.
[FOTO GHAZALI KORI /BH] Bas amfibia melintasi Masjid Kristal ketika sesi pandu uji menyusuri Sungai Terengganu, Februari lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia