MENTERI DILARANG BAWA PASANGAN LAWATAN KERJA KE LUAR NEGARA

Hanya diiringi dua pegawai untuk lawatan kerja kurang 7 hari

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Faliq Lajim

Kabinet memutuskan jemaah menteri tidak boleh membawa pasangan masing-masing bagi lawatan kerja ke luar negara yang kurang dari tujuh hari, berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah penjimatan perbelanjaan awam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata lawatan sedemikian adalah untuk kerja dan ia tidak perlu membabitkan ahli keluarga khususnya pasangan.

Katanya, hanya dua pegawai dibenarkan mengikuti menteri berkenaan untuk lawatan kerja kurang dari tujuh hari.

“Kalau dengan perbelanjaan sendiri, kurang tujuh hari, bolehlah menteri itu bawa (pasangan). Jika melebihi tujuh hari, mereka dibenarkan bawa isteri.

PM boleh bawa isteri

“Bagaimanapun, arahan ini tidak tertakluk kepada Perdana Menteri berikutan isteri beliau mempunyai tugas sebagai isteri Perdana Menteri di negara yang dilawati,” katanya pada Program Bicara Minda Bicara Minda Bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertajuk: ‘Ekonomi : Kesejahteraan Untuk Semua’ di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, walaupun perkara itu nampak kecil, ia membabitkan budaya kerja, selain sebagai langkah penjimatan bagi perbelanjaan awam.

“Kita pergi untuk bekerja bukan bercuti, shopping (beli-belah), dan bermain golf.

“Saya tahu ketika saya dalam kerajaan suatu ketika dahulu, ramai menteri pergi persidangan jika hari Isnin bermula, mereka akan datang tiga hari lebih awal untuk bermain golf dan isteri mereka pergi shopping. Tiga hari selepas persidangan tamat baru mereka balik.

“Sekarang, kita kena sampai pada hari persidangan dan habis saja persidangan, terus balik. Itu jaminan kerajaan hari ini untuk jimatkan perbelanjaan kerana ia membabitkan wang rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata pegawai kerajaan yang mengikut arahan orang politik dan bersekongkol melanggar proses serta prosedur sedia ada, akan didakwa.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan pegawai kerajaan dan pengurusan institusi kerajaan, bertindak secara profesional dan bertanggungjawab.

Ikut undang-undang

“Pegawai kerajaan perlu bertindak mengikut undang-undang. Mereka tidak boleh mendapat arahan daripada orang politik. Jika berlaku sesuatu, siapa yang hendak dipertanggungjawabkan?

“Itu sebab dari awal, pegawai kerajaan mesti meneliti permohonan itu (permohonan yang diterima) mengikut merit dan proses serta peraturan yang sedia ada. Kalau dia (pegawai kerajaan) bersekongkol, dia kena bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan juga sudah membuang slogan ‘Saya yang menurut perintah’ dan digantikan dengan ‘Saya yang menjalankan amanah’ melalui persetujuan Perdana Menteri.

[FOTO FAIZ ANUAR /BH]

Mohamed Azmin bersama Moderator, Tan Sri Johan Jaafar pada Bicara Minda ‘Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua’ di Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.